Saya tak nak jadi Jamal, tapi apakan daya – Zaki Yamani

BAKAT nyanyian Zaki Yamani sudah tidak perlu lagi disangkal. Jika ada yang masih ingat, persembahan Zaki bersama abangnya Osama Yamana dalam Famili Duo 2023 juga tidak pernah menghampakan. 

Tidak hairanlah apabila ramai menyifatkan bakatnya tidak ubah seperti ‘salinan karbon’ bapanya, Raja Pop Datuk Jamal Abdillah, bahkan semakin, ada yang beranggapan suara Zaki seolah-olah copy paste daripada penyanyi ikonik itu.

Sudah namanya darah daging, ke mana tumpahnya kuah jika tidak ke nasi, pemilik nama penuh Ahmad Zaki Yamani Jamal Ubaidillah itu bagaimanapun menolak dakwaan segelintir yang pihak melabel dirinya sengaja meniru gaya vokal si bapa demi meraih populariti.

Menurut Zaki, perubahan vokalnya berlaku secara semula jadi seiring peningkatan usia dan proses kematangan seorang lelaki.

“Sebenarnya suara ini saya memang tak ada niat langsung nak jadi begitu. Saya tak nak jadi dia tapi apakan daya saya darah (anak) dia. 

“Orang cakap saya tiru dia (bapa), sebenarnya tak. Mungkin yang tak tahu, apabila usia lelaki meningkat belasan tahun, mereka akan melalui fasa perubahan vokal yang menjadi matang. 

“Dalam kelas vokal pun cikgu ada beritahu perkara ini,” katanya kepada HibGlam. 

Penyanyi berusia 19 tahun itu turut mengakui cuba mengelakkan daripada menyanyikan lagu-lagu bapanya bagi menghindar skeptikal ramai.

Dari sisi lain, dia juga melihat perkara tersebut dari sudut positif apabila secara tidak langsung membantu memperkenalkannya kepada peminat bapanya.

“Kalau boleh saya memang tak nak nyanyi lagu dia, cuba menyanyi lagu lain tapi itu pun orang kata sama. 

“Tak tahulah tapi mungkin ada baiknya juga. Peminat dia boleh kenal saya juga jadi saya ambil sebagai rezeki bukannya satu kelebihan pun,” ujarnya. 

Sempat dilayangkan pertanyaan mengenai suhu hubungan dengan bapa, Zaki mengakui mereka tetap ada komunikasi, namun lebih selesa meluahkan perasaan kepada ibunya, Fatimatuzahra Samad.

“Saya dah makin besar, lebih faham dan tahu dia (bapa) kerja. Saya okey saja cuma saya memang susah nak luah dekat orang selain ibu. 

“Ibu yang ada dengan saya sejak kecil, dia jaga saya jadi saya luah dekat dia. Ayah pun saya rapat mungkin sebab dia bekerja membuatkan hubungan kami sedikit janggal. 

“Tapi kami okey, masih berhubung. Awal tahun ini dia hantar ucapan selamat tahun baharu, cuma kami jarang jumpa ada apa-apa, kami mesej atau telefon,” jelasnya Zaki yang kini turut melebarkan sayap seni sebagai pelakon.

Minat berlakon 

Terbaharu, dia muncul dalam drama vertikal, FYP Macam VIP, hasil kolaborasi strategik antara McDonald’s Malaysia dan Media Prima Berhad (MPB).


ZAKI Yamani kini muncul dalam drama vertikal, FYP macam VIP bergandingan dengan Mia Sara dan Reykarl Iskandar.

Pengalaman membintangi drama berformat vertikal memberi kelainan tersendiri berbanding penggambaran drama konvensional.

“Untuk drama vertikal, ini pertama kali. Perbezaannya setiap penggambaran tak ambil masa yang lama, dalam sehari saja. 

“Kalau sebelum ini berlakon akan ambil masa mungkin sehari dua untuk satu babak ke dua babak. Jadi ini memberi pengalaman baru untuk saya,” jelasnya lagi. 

Pelantun lagu Aku Ada itu mengakui meminati dunia lakonan sejak kecil, namun nyanyian tetap menjadi keutamaan.

“Berlakon memang dah ada dalam jiwa saya. Menyanyi memang keutamaan saya,” jelasnya.

Selain Zaki, naskhah arahan Junaidah Mohd. Nor dan Syahnur Asyikin Kee Charles, turut dibintangi Rykarl Iskandar dan Mia Sara.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok