‘Pernah muntah darah, selang beberapa minit Michael bagi duit’

PELAKON Puteri Balqis menegaskan hubungannya dengan pengarah dan penerbit Michael Ang tidak mempunyai sebarang masalah seperti yang didakwa segelintir pihak sejak semalam.

Menurut Puteri Balqis, 19, Michael sebelum ini beberapa kali membantunya termasuk menawarkannya untuk berlakon dalam sebuah drama.

“Ketika saya kerap mengalami keadaan muntah darah, ibu saya telah menghubungi Michael bagi mendapatkan bantuan.

“Dalam tempoh beberapa minit, dia telah memasukkan wang berjumlah RM3,000 ke dalam akaun ibu saya.

“Beberapa bulan kemudian, Michael telah menawarkan saya peluang untuk terlibat dalam sebuah drama,” katanya dalam satu hantaran InstaStory.

Terhutang budi dengan bantuan tersebut, dia dan ibunya, Norashikin Mohd. Aziz menerima apa sahaja jumlah bayaran yang ditetapkan Michael untuk drama tersebut.

“Sebagai tanda membalas budi beliau, ibu saya memaklumkan bahawa kami bersetuju dengan apa sahaja jumlah yang ditetapkan.

“Justeru, bayaran yang diterima adalah mengikut kadar yang ditentukan oleh Michael dan bersesuaian dengan watak saya sebagai pelakon pembantu dalam drama tersebut.

“Itulah kali terakhir kami dipanggil untuk bekerja dan bertemu dengannya,” katanya lagi.

Menyedari nama Michael kini turut terpalit dalam kemelutnya dengan pelakon, Janna Nick, dia memohon maaf sekiranya situasi tersebut mengundang rasa kurang senang terhadap pengarah berkenaan.

“Sekiranya terdapat sebarang perkara lain yang dikaitkan dengan Michael tanpa pengetahuan atau berlaku tanpa kehadiran kami sehingga menyebabkan dia menerima tempias, maka saya dan ibu dengan rendah hati memohon maaf atas sebarang kekhilafan.

“Daripada pihak kami, kami tidak mempunyai sebarang masalah dengan Michael,” ujarnya.

Sejak semalam, Michael antara selebriti tanah air yang turut terkena tempias selepas namanya dipetik Janna berkaitan pertelingkahan dengan Puteri Balqis dalam media sosial. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok