Puas! Panggung Puting Beliung Tenxi secukup rasa

BARU berusia 20 tahun, si jejaka Indonesia, Tenxi  sudah mampu mencipta fenomena sendiri apabila lagu popularnya Garam & Madu merentasi sempadan menjadi siulan khalayak di Malaysia.

Sejak ledakan Garam & Madu, Tenxi atau nama sebenarnya Tengxi Wijaya terus aktif menghasilkan karya baharu dan semakin mendapat perhatian selepas berkolaborasi bersama Jemsi dan Naykilla.

Muziknya yang mudah melekat di telinga membuatkan namanya pantas menawan hati pendengar, sekali gus mendorong penganjuran konsert Panggung Puting Beliung Tenxi di Kuala Lumpur selama dua malam.

Menariknya, tiket bagi malam pertama habis terjual dalam tempoh singkat, membuktikan keterujaan peminat tempatan terhadap kemunculan artis muda dari Indonesia itu.

Penulis berkesempatan menghadiri konsert malam kedua yang turut menampilkan barisan artis bawah label sama AntiNRML iaitu Ryo, Dia, Naufal Syachreza dan Yung Caters.

Persembahan Tenxi dengan lagu-lagu popular seperti Kasih Aba-Aba, Bintang 5, Garam & Madu, hoRRReg dan Mejikuhibiniu merasuk emosi peminat sepanjang konsert. – INSTAGRAM BANGSAWAN PICTURES

Lebih membanggakan, persembahan tersebut dihadiri peminat pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina dan India, sekali gus mencerminkan penerimaan luas terhadap muzik Tenxi yang bersifat universal.

Konsert dimulakan tepat pukul 8.30 malam dengan nyanyian lagu Negaraku, menyaksikan seluruh hadirin berdiri sebagai tanda hormat.

Sejam sebelum kemunculan Tenxi, pentas terlebih dahulu ‘dipanaskan’ rakan seperjuangannya yang masing-masing berjaya menghiburkan penonton walaupun sebahagian daripada mereka kurang dikenali di Malaysia.

Namun begitu, suasana tetap meriah apabila ada penonton yang turut menyanyi dan menikmati lagu-lagu yang dipersembahkan.

Tepat pukul 9.30 malam, sorakan peminat bergema sebaik Tenxi muncul di pentas. Persembahannya dengan deretan lagu popular seperti Kasih Aba-Aba, Bintang 5, Garam & Madu, hoRRReg dan Mejikuhibiniu nyata membuatkan penonton kerasukan.

Peminat bukan sahaja menyanyi bersama, malah turut menari serta merakam momen dengan mengikuti trend TikTok yang pernah tular menerusi lagu-lagu tersebut.

KEMERIAHAN kemunculan Tenxi bersama rakan-rakan dan pasukannya di Zepp KL meninggalkan kenangan indah buat peminat.

Menariknya, berbeza daripada kebanyakan konsert lain, Tenxi dan rakan-rakannya memilih untuk tidak berucap atau menyampaikan sebarang kata-kata sepanjang persembahan.

Fokus mereka jelas terarah kepada muzik dan hiburan sepenuhnya, sekali gus memberikan pengalaman konsert yang padat dan memuaskan buat peminat.

Suasana bertambah istimewa apabila rakan-rakan seperjuangan Tenxi membawa sebiji kek ke atas pentas bagi meraikan hari kelahirannya, disusuli nyanyian lagu Happy Birthday oleh seluruh penonton.

Sebagai penutup yang mengujakan, Tenxi bersama rakan-rakannya kembali menyanyikan Garam & Madu serta Mejikuhibiniu buat kali kedua sebelum konsert melabuhkan tirai, meninggalkan kenangan manis kepada peminat yang hadir. Secukup rasa! – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok