SETUJU dengan didikan Datuk Seri Aliff Syukri yang menitikberatkan batas pergaualan anak, pelakon Scha Alyahya menegaskan tindakan tersebut merupakan perkara asas dalam membentuk akhlak anak.
Bagi Scha atau nama sebenarnya Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al-Yahya, 43, tindakan menetapkan batas bukan sesuatu yang keterlaluan, sebaliknya anak-anak mampu berdikari ketika dewasa.
Tak nak disentuh? Bagus, bagi saya sebagai ibu bapa banyak benda baharu yang saya rasa kena belajar. Kerisauan yang tak sangka saya ada.
“Meskipun Awal kata saya ‘overthink’ tapi bagi saya itulah naluri mak. Jadi bila kita tahu untuk hadkan batas, benda itulah yang paling penting.
“Itu asas, kalau kita ajar mereka dari sekarang, insya-Allah besar nanti ada adab dan akhlak yang elok,” katanya kepada HibGlam ketika majlis pelancaran koleksi beg terbaharunya, The Nexx, hari ini.
Pada masa sama, pelakon filem Telaga Suriram itu memaklumkan selaku ibu bapa, dia perlu menjaga batas pergaulan anak lebih-lebih lagi pada zaman serba moden.
“Kita ibu bapa kan, mereka paling dekat dengan kita. Jadi, itulah cara kita nak bentuk mereka membesar.
Kita nak ada had dari segi pergaulan, percakapan, media sosial, berborak dengan orang tak kenal. Main permainan video dengan orang yang tidak tahu siapa.
“Itu bagi saya antara batasan pergaulan yang perlu ada dalam hidup, tambahan lagi dengan dunia sekarang,” ujarnya.
Selain itu, isteri kepada pengacara Awal Ashaari itu mengakui tidak teragak-agak menegur sekiranya anak-anak melakukan perkara yang dirasakan tidak sesuai.
Saya selalu nasihat sebab saya seorang yang cepat takut. Jadi, saya akan tengok iPad, apa mereka muat turun dan apa mereka bualkan dengan kawan-kawannya.
“Kalau saya rasa benda itu tak elok, saya akan cakap dekat mereka dan jelaskan.
“Bagi saya benda begini kalau kita tak jaga atau pantau, mereka macam tak ada had,” jelasnya lagi.
Sebelum ini, pempengaruh dan usahawan Datin Seri Shahida menceritakan tentang insiden melibatkan anak perempuannya, Raudhah Arshiyah yang dimarahi oleh suaminya, Datuk Seri Aliff Syukri selepas kanak-kanak itu dilihat bergurau dengan pengurus lelaki mereka.
Katanya, perkara tersebut perlu dititik beratkan walaupun masih kecil bagi menjaga batas pergaualan. – HIBGLAM
