DI sebalik gemerlapan dunia hiburan Korea Selatan, kehidupan artis sering diselubungi tekanan luar biasa yang jarang disedari peminat.
Ramai artis terpaksa mengorbankan waktu rehat, kesihatan diri, malah kehidupan peribadi demi memastikan sentiasa berada di tahap terbaik dalam segala aspek.
Namun, di sebalik episod kelam tersebut, tersimpan kisah kebangkitan yang penuh inspirasi.
HibGlam menyenaraikan selebriti Korea yang pernah diuji masalah kesihatan kronik, namun berjaya bangkit dan terus mencipta kejayaan dalam industri hiburan antarabangsa.
IU

DI sebalik reputasi cemerlang sebagai penyanyi, perjalanan karier IU sebenarnya sarat dengan pengorbanan serta ujian berat khususnya melibatkan kesihatan fizikal dan mental.
Mula menceburi industri hiburan pada usia sangat muda, IU atau nama penuhnya Lee Ji-eun berdepan tekanan luar biasa apabila perlu menyesuaikan diri dengan dunia seni yang kompetitif.
Dalam beberapa temu bual, penyanyi berusia 32 tahun itu secara terbuka mengakui pernah mengalami anoreksia, insomnia kronik dan bulimia, dipercayai berpunca daripada tekanan kerja berlebihan, kebimbangan melampau serta kawalan ketat terhadap imej tubuh badan.
Malah, dia disahkan menghidap keadaan yang dikenali sebagai Patulous Eustachian Tube Dysfunction iaitu gangguan pada injap tiub Eustachian yang menyebabkan kekal terbuka.
Apabila injap ini terus terbuka, bunyi dari rongga hidung dan sinus boleh sampai ke telinga, maka seseorang boleh mendengar suaranya sendiri, bunyi pernafasan atau malah bunyi degupan jantung dengan terlalu kuat.
Meskipun mempunyai masalah kesihatan, IU masih mampu menyanyi secara profesional dan menjadi antara penyanyi terbaik Korea Selatan.
Lee Min-ho

PADA 2006, pelakon Lee Min-ho pernah terlibat dalam kemalangan jalan raya yang hampir meragut nyawanya.
Bintang drama Pachinko itu mengalami kecederaan serius dalaman dan kaki selain tidak sedarkan diri selama beberapa hari serta menjalani rawatan hospital hampir setahun.
Lebih menyayat hati, rakan karibnya yang terlibat dalam kemalangan itu meninggal dunia.
Selepas pulih, Min-ho, 38, bangkit semula dan menjadi pujaan ramai menerusi drama Boys Over Flowers pada 2009.
Pelakon itu mengakui pengalaman hampir maut menjadikannya lebih matang, ambil mudah tentang keselamatan dan kesihatan diri.
Kim Woo-bin

PELAKON Kim Woo-bin, 36, berkongsi secara terbuka perjuangannya melawan kanser.
Pemilik nama sebenar Kim Hyun-joong itu mengalami simptom luar biasa sebelum menjalani pemeriksaan lanjut.
Hasil diagnosis pada 2017, dia disahkan menghidap kanser nasofarink.
Bintang The Heirs itu kemudiannya menjalani rawatan intensif termasuk kemoterapi dan radioterapi selama beberapa bulan.
Sepanjang tempoh tersebut, dia menghentikan aktiviti seni sepenuhnya.
Menurutnya, proses rawatan bukan mudah dan memberi kesan besar terhadap fizikal serta emosi, namun sokongan keluarga, rakan dan peminat menjadi sumber kekuatan utama untuk terus bertahan.
Suga BTS

ANGGOTA kumpulan BTS, Suga pernah mengalami kecederaan bahu yang kronik sebelum debut sehingga memberi kesan berpanjangan terhadap kesihatan fizikal dan mental.
Pemilik nama sebenar Min Yoon-gi itu memaklumkan kecederaan tersebut berpunca daripada kemalangan ketika bekerja sebagai penghantar makanan sebelum menyertai BTS.
Berikutan kekangan kewangan, dia terpaksa meneruskan kehidupan tanpa menjalani rawatan sempurna.
Natijahnya, penyanyi berusia 32 tahun itu sering mengalami kesakitan berulang, kebas serta sukar menggerakkan bahu, terutama ketika melakukan persembahan pentas dan latihan intensif bersama BTS.
Pada 2020, Suga akhirnya mengambil keputusan menjalani pembedahan bahu bagi merawat kecederaan itu secara menyeluruh.
Prosedur tersebut memerlukan tempoh pemulihan yang panjang dan terpaksa berehat daripada aktiviti promosi serta persembahan BTS buat sementara waktu.
Selepas menjalani pembedahan dan terapi pemulihan, pelantun lagu Butter itu memaklumkan keadaannya semakin baik dan kesakitan yang dialami sebelum ini berkurangan dengan ketara.
Malah, dia turut berkongsi pembedahan itu bukan sahaja membantu dari segi fizikal, malah memberi kelegaan emosi. – HIBGLAM
