MERUNGKAI salah faham, pelakon dan penyanyi Erra Fazira menjelaskan tindakan suaminya, Ezwan Zain bergambar dengan buah zuriat ketika di Mekah bukan isyarat mereka mengharapkan cahaya mata.
Sebaliknya, akui Erra atau nama sebenarnya Erra Fazira Wan Chek, 52, Ezwan hanya bergurau ketika memegang buah tersebut ketika di Tanah Suci, baru-baru ini, selain tidak menyedari ia mempunyai kaitan dengan kesuburan suami isteri.
Bahkan katanya, secara peribadi dia juga tidak pernah terfikir untuk kembali hamil selain sudah berbincang dengan suami soal anak berikutan faktor usia.
“Kita kena sedia maklum Mr E ni suka bergurau. Saya pun tak tahu itu buah zuriat. Apa pun saya anggap itu sebagai gurauan.
“Saya dah set dalam otak macam tak sesuai (nak hamil) tetapi kalau Allah dah berkehendak kita tak boleh menolak.
“Dari mula saya tak sangka akan berkahwin lagi. Sejak awal kami ada berbincang, kalau dia nak anak (Ezwan) kena kahwin dengan orang muda,” katanya selepas pembukaan outlet Cluck’n Cone di Jalan Changkat, Bukit Bintang, hari ini.
Pasangan yang bergelar suami isteri pada 12 Disember lalu itu hadir bagi melancarkan premis makanan segera milik bumiputera terbabit sebagai tanda sokongan.
Pada masa sama, Primadona Filem Melayu Alaf Baharu itu mengakui semakin menyesuaikan diri menjalani kehidupan berumah tangga selepas masing-masing sedekad sendirian.
Begitupun, kembali berbicara soal zuriat, Erra berkata mereka tidak mempunyai sebarang perancangan untuk menambah ahli keluarga kerana masing-masing sudah mempunyai anak.
“Saya tidak merancang. Alhamdulillah kami juga memiliki dua anak perempuan dan kini saling menemani. Kami mahu jalan terus. Ada rezeki ada la, tapi saya tahu 80 peratus perkara itu tidak akan berlaku (hamil).
“Cuma di usia saya ini memang sentiasa buat pemeriksaan doktor. Rata-rata menasihati lebih baik saya tidak hamil atas faktor usia,” ujarnya.
Pada 2 Januari lalu, Erra membuat kejutan istimewa buat Ezwan atau Mr.E, 44, sempena ulang tahun kelahirannya dengan menghadiahkan menunaikan umrah bersama.
Ketika di Tanah Suci, ahli perniagaan terbabit memuat naik gambarnya memegang foto buah zuriat yang ditunjukkan kepada Erra, sekali gus mencetuskan spekulasi netizen pasangan itu bakal menimang cahaya mata.
Terdahulu, Erra mendirikan rumah tangga dengan Ezwan pada 12 Disember lalu selepas 11 tahun bergelar ibu tunggal, manakala Ezwan pula lapan tahun menduda. – HIBGLAM
