SETELAH sekian lama terpisah, pelakon baharu Zairi Aziz teruja dapat bertemu dan meluangkan masa bersama kakaknya yang juga pelakon senior Nasha Aziz dalam sebuah majlis tayangan filem.
Menurut Zairi, 23, pertemuan tersebut menjadi detik istimewa memandangkan dia tidak pernah menghubungi kakaknya itu sejak mula bergiat aktif dalam industri seni kerana sifatnya yang pemalu.
“Kami baru bertemu di majlis tayangan filem The Voice Of Hind Rajab dan itu juga kali pertama kami berjumpa sejak saya mula aktif dalam industri.
Sebelum ini, saya tidak menghubunginya kerana berasa malu serta hormat sebagai ahli keluarga.
“Saya sangat gembira dapat bertemu dengannya kerana semua tahu dia pelakon yang hebat,” katanya kepada HibGlam, semalam.
Pada masa sama, pelakon drama Anak-Anak Mafia itu memaklumkan Nasha turut menitipkan beberapa nasihat berharga yang boleh dijadikan panduan.
“Dia tahu saya kini aktif sebagai pelakon. Kami sempat makan bersama dan dia berkongsi banyak nasihat, termasuk cara untuk kekal relevan dalam industri.
Antara nasihat yang paling terkesan adalah mengenai hubungan iaitu supaya tidak terbabit dengan cinta lokasi.
“Saya berharap perkara itu tidak berlaku dan akan cuba sedaya upaya mengikut nasihatnya, insya-Allah,” jelasnya lagi.
Selain itu, Zairi menyifatkan Nasha sebagai seorang yang ceria dan mudah mesra, berbeza dengan sifatnya yang pemalu.
Dia seorang yang ceria, cuma saya ini memang pemalu. Namun selepas berbual, semuanya jadi okey.
“Sebagai seorang kakak, dia juga sangat baik,” kongsinya semasa sidang media drama baharu Viu berjudul Kelas Belakang.
Dalam drama terbitan Independent Pictures, Zairi diberi kepercayaan memegang watak utama sebagai Nik.
Drama arahan Nurhanisham Muhammad atau dikenali sebagai Labu mengangkat realiti pelajar yang ditempatkan di kelas tercorot yang sering dipandang remeh, dipinggirkan serta dinilai berdasarkan label bukannya potensi sebenar mereka.
Selain Zairi, Kelas Belakang menampilkan barisan pelakon muda, Amilya Aidura, Farihin Arnia, Areef Amran, Faha Azhar, Ryliana Azizan, Arfie Shah dan Myra Afrina. – HIBGLAM
