BIDUANITA Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menegur tindakan seorang individu mendedahkan rekaan pentas konsertnya yang bakal berlangsung pada 10 Januari ini.
Siti atau nama lengkapnya Siti Nurhaliza Tarudin, 46, berkata, perbuatan memaparkan video pentas yang belum sempurna kepada umum itu boleh mengelirukan orang ramai sekali gus mencetuskan persepsi negatif.
Ini yang saya marah bila suka-suka masuk (stadium) dan buat video.
“Semua belum siap dan yang tengok video ini pun tidak perlu buat penilaian awal ya,” katanya dalam hantaran di Threads.
Rakaman dikongsikan menunjukkan lokasi Konsert Legasi 30 Siti Nurhaliz di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur.
Terdahulu, seorang pemilik akaun TikTok memuat naik rakaman persiapan awal di stadium terbuka itu bagi konsert mega yang akan berlangsung Sabtu ini.
Perkongsian tersebut kemudian mencetuskan pelbagai reaksi yang kurang enak dalam kalangan netizen sehingga menjadi perdebatan.
Antara komen termasuk mengenai saiz paparan skrin serta pentas yang didakwa terlalu kecil berbanding kapasiti stadium itu.
Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza direalisasikan bagi meraikan perjalanan seni penghibur nombor satu negara selama tiga dekad dalam industri muzik.
Lebih 63,000 penonton dijangka hadir yang turut menampilkan beberapa penyanyi popular Malaysia dan Indonesia termasuk Cakra Khan, Hafiz Suip, Noh Salleh dan Umairah. – HIBGLAM
