Fitnah, saya tidak raikan perceraian mereka – Marissa

ANAK kepada pasangan pelakon Abby Abadi dan Norman Hakim, Marissa Dania Hakim menafikan ada meraikan perceraian Umisya dan Aslam selepas mereka pulang dari mahkamah seperti yang didakwa oleh wanita tersebut.

Walaupun telah mengakui kesalahannya menjadi orang ketiga dalam rumah tangga Umisya sehingga membawa kepada perpisahan mereka, namun Marissa, 18, menafikan telah meraikan perceraian wanita itu bersama Aslam dan menganggap kenyataan tersebut sebagai fitnah.

“Saya hendak jelaskan sesuatu. Saya dan Aslam tidak meraikan apa-apa selepas mereka pulang dari mahkamah seperti yang ditulis Umisya dalam Twitter (X).

“Apa yang kami buat sampai dia boleh cakap kami meraikan? Itu salah satu perkara tidak benar yang ditularkan,” kata Marissa.

Semalam, antara pendedahan yang dibuat Umisya dalam akaun X miliknya memberitahu, selepas pulang daripada urusan perceraiannya dengan bekas suami Aslam, Marissa dan lelaki itu sempat bertemu untuk meraikan perpisahannya dengan bekas isteri.

TANGKAP layar akaun X Umisya yang mendakwa bekas suaminya, Aslam sempat bertemu dengan Marissa selepas mereka bercerai untuk meraikan perpisahan mereka.

“Selepas balik dari mahkamah, masih sempat ya ‘dating’, selepas itu meraikan (perceraiannya),” tulis Umisya.

Dalam pendedahan itu juga, Umisya memaklumkan bahawa ibu bapa Marissa iaitu pelakon Abby Abadi dan Norman Hakim mengetahui kisah anak mereka akan ditularkan dalam media sosial.

Malah, wanita terbabit juga memaklumkan bahawa dia telah meminta keizinan terlebih dahulu daripada Abby dan Norman untuk menularkan kisah anak mereka dan telah diberikan ‘green light’ (kebenaran) untuk berbuat demikian.

Selepas menimbulkan kekecohan sejak semalam, Marissa hari ini tidak lagi bersembunyi apabila membuka mulut mengaku menjadi orang ketiga dalam krisis rumah tangga Umisya dan Aslam.

Pucuk muda berusia 18 tahun itu mengakui cerita yang ditularkan ibu kepada dua orang cahaya itu adalah benar, walaupun bukan 100 peratusnya tepat. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok