PELAKON, Zara Zya mengesahkan dirinya menghidap kanser buah pinggang atau renal cell carsinoma yang dikesan tahun lalu.
Begitupun, Zara atau nama sebenarnya Zainurul Razia Mohd Zainuddin, 40, berkata barah yang dihadapinya itu masih di peringkat awal.
“Sehingga tahun lepas, semuanya terjawab apabila saya disahkan menghidap renal cell carsinoma tahap satu,” katanya dalam satu hantaran di Threads.
Menurut pelakon drama Mencari Nur itu, pelbagai petanda dialaminya terutama dengan tahap kesihatan turun naik tetapi kurang disedari.
“Bertahun badan beri isyarat. Cepat penat, hidung kerap berdarah, denyutan yang berulang.
”Tolonglah, jangan abaikan isyarat tubuh kita,” katanya dalam hantaran di Threads.
Zara berkata, simptom lain yang dihadapi ialah denyutan di belakang kawasan buah pinggang dan kanser itu hanya dikesan menerusi ujian imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI).
Malah menerusi komen balas, dia mengakui sudah menjalani pembedahan pada 2024.
“Saya telah menjalani pembedahan buang sebahagian (buah pinggang) pada tahun,” ujarnya
Pada masa sama, Zara turut menzahirkan terima kasih kepada orang ramai yang mendoakan kesembuhanannya.
Terdahulu aktres itu juga pernah mendedahkan bergelut masalah kesihatan berkaitan tulang leher, tulang belakang dan arthritis.
Januari lalu, dia berkongsi keadaan dirinya yang menjalani pembedahan membuang fibroid serta cyst pada buah pinggang selain mengalami kekurangan hormon dan vitamin tertentu selain. – HIBGLAM
