‘Berkaki ayam berlari dalam hutan, menangis, menjerit’ 

SIAPA tidak kenal figura anggun bernama Che Puan Sarimah Ibrahim, selebriti serba boleh yang suatu ketika dahulu menguasai layar televisyen dengan aura pengacaraan penuh tenaga.

Kemunculannya sentiasa mengisi ruang seni dengan elegan, seolah-olah setiap langkah diatur bagai bayu yang menyentuh hati penonton.

Biarpun pernah menyepi seketika, namanya tidak pernah pudar. Saat ramai artis berebut layar dan lensa, dia tenang memahat masa untuk kembali dengan naskhah yang benar-benar memberi makna.

Selepas hampir dua dekad tidak muncul di layar perak, wanita berusia 47 tahun itu akhirnya kembali menghangatkan dunia perfileman dengan dua naskhah baharu yang bakal menemui penonton tahun hadapan.

Kali terakhir selebriti tinggi lampai itu beraksi dalam filem adalah menerusi watak Inspektor Farah dalam Gerak Khas The Movie 3 pada 2005.

Lena panjang akhirnya berpenghujung apabila dia menerima dua tawaran filem, termasuk pertama kali terjun ke genre seram.

“Saya sangat teruja kerana tahun depan dua filem saya akan ditayangkan, termasuk satu genre seram pertama sepanjang kerjaya. Inilah masanya untuk saya aktif di layar perak.

Pengalaman kembali bekerja di lokasi penggambaran selepas dua dekad terasa seperti membuka buku baharu dalam perjalanan seninya.

“Ini satu pengalaman baharu yang saya tak jangka.  Saya rasa seperti kembali ke zaman mula-mula berlakon dahulu,” katanya kepada HibGlam.

MEMBAWAKAN watak Seroja yang disifatkan Sarimah sebagai sangat mencabar bukan sahaja fizikal bahakn emosi dalam filem Pewaris Susuk.

Digandingkan dengan aktor Rosyam Nor, filem seram berjudul Pewaris Susuk terbitan Primeworks Studios tersebut disifatkan Sarimah sebagai sumbu menyalakan semula nostalgia lama ketika membintangi Janji Diana.

“Kalau tak silap, naskhah terbabit akan ditayangkan dan bertemu penonton pada Mac tahun hadapan.

Memang sangat teruja untuk projek ini sebab naskhah ini ibaratnya gandingan semula saya dengan Rosyam selepas filem Janji Diana.

“Kalau dikira, memang lama benar kami tak bekerja bersama dan itu juga merupakan salah satu faktor menyebabkan saya terima tawaran ini.

“Tambahan pula ini produksi Primeworks, jadi saya tahu projek ini berkualiti,” ujarnya teruja.

Menariknya, dalam naskhah seram debut pertamanya itu, dia membawa watak Seroja, isteri kepada watak lakonan Rosyam yang digambarkan sebagai wanita antagonis dengan alur cerita dan plot membelit akal.

Paling penting katanya, watak tersebut bukan hanya mencabar fizikal tetapi turut meruntun emosinya apabila banyak adegan memerlukan tenaga luar biasa, termasuk aksi lasak dan penggunaan kesan khas.

“Saya banyak berlari dalam hutan, berkaki ayam. Ini bukan watak cantik. Ini watak wanita kuat, tertekan dan terseksa.

Saya juga sering perlu menangis dan menjerit, selain melalui proses pemasangan kesan khas melibatkan darah selama lebih dua jam setiap sesi. Ada hari penggambaran mencecah sehingga 17 hingga 18 jam.

“Memang mencabar, tapi ini pengalaman sangat berharga kerana wataknya tidak klise,” kongsinya.

Tidak terhenti di situ, ibu satu anak itu mengikat satu lagi karya baharu berjudul Konspirasi, arahan Ghaz Abu Bakar yang mengetengahkan genre ‘political thriller’.

Turut mempertemukannya dengan Datuk Adi Putra, Hisyam Hamid dan Alicia Amin, Sarimah diberi kepercayaan membawa watak ahli politik berprofil tinggi.

Demi menjiwai karakter dengan sepenuh penghayatan, isteri kepada Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar itu tampil dengan keputusan berani iaitu memotong rambut untuk menyerlahkan sisi realistik seorang ahli politik.

Jelasnya, perubahan imej juga penting untuk membezakan penampilannya daripada watak berambut panjang dalam Pewaris Susuk. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok