K-DRAMA terbaharu berjudul Dear X yang bertemakan psychological thriller membuka tirai dengan membongkar sisi paling gelap ambisi serta imej dalam dunia selebriti melalui kehidupan watak Baek Ah-jin lakonan Kim Yoo-jung.
Ah-jin digambarkan sebagai seorang aktres popular dengan penampilan menawan dan bakat luar biasa. Namun, di sebalik kemasyhuran itu, dia menyimpan trauma sejak kecil akibat keganasan dalam keluarga.
Untuk terus bertahan, Ah-jin belajar menyembunyikan emosinya dan memanipulasi orang lain dengan membaca isi hati mereka. Walaupun biasanya bersikap baik dan murah hati, sisi gelapnya akan terserlah apabila seseorang menimbulkan kemarahannya.
Dear X merupakan adaptasi webtoon popular karya Ban Ji-woon yang diterbitkan pada 2019 di platform Naver. Peminat K-Drama boleh mengikuti siri itu yang bersiaran di HBO Max sejak 6 November lalu.
Selain Yoo-jung, Dear X turut menampilkan pelakon Lee Yul-eum yang membawa watak Im Re-na atau Lena, bintang pujaan ramai yang menjadi pesaing utama Ah-jin.
Ikuti perjalanan emosi Yul-eum yang mengakui watak Lena meninggalkan impak besar buat dirinya.

MENGHIDUPKAN watak Lena satu cabaran besar buat Yul-eum apabila perlu banyak bermain dengan emosi.
HIBGLAM: Apakah aspek dari webtoon asal yang diterapkan dalam watak serta cabaran dihadapi sepanjang penggambaran?
LEE YUL-EUM: Saya cuba menjiwai kejujurannya dan sifatnya yang sangat ekspresif. Namun pada masa sama, saya teruja untuk menampilkan sisi berbeza Lena.
Salah satu cabaran terbesar adalah berani meluahkan segala yang saya fikir dan rasa. Lena sentiasa jujur dengan emosinya dan tidak pernah menahan diri daripada mengekspresikannya.
Adakah anda mengalami kesukaran untuk kembali kepada diri sebenar memandangkan sudah lama menjalani penggambaran?
Memandangkan Lena melalui pergolakan emosi yang begitu kuat dalam siri ini, saya jadi lebih sensitif dan emosional. Saya perlu lebih peka terhadap emosi saya, menenangkan diri dan bertenang sebelum membuat apa-apa keputusan.
Adegan atau karakter Lena yang anda harap dikenang penonton
Meskipun penampilannya nampak tegas, Lena sebenarnya sangat naif dalam soal cinta.
Perjalanan perkembangan dirinya dalam siri, bagaimana dia belajar menerima hidup seadanya dan memilih untuk mencintai dirinya sendiri adalah bahagian yang paling memberi inspirasi kepada saya. Sisi itulah yang saya harap penonton nampak ketika menonton Dear X.
Apa yang anda ingin penonton belajar daripada siri ini?
Dalam kehidupan, hubungan sesama manusia sangat penting. Saya harap penonton meluangkan masa untuk menyedari apa yang benar-benar berharga bagi mereka dan tidak hilang fokus terhadap perkara penting dalam hidup.
Bagaimana anda merumuskan Dear X dalam tiga perkataan?
Menggerunkan, memukau dan penuh misteri.
Dear X sangat intens sehingga boleh buat penonton rasa meremang dan itulah sebahagian daripada tarikannya.
Apa harapan anda terhadap Dear X terutamanya kepada penonton di Asia Tenggara, Taiwan dan Hong Kong?
Semua yang terlibat dalam Dear X baik pelakon, pengarah, penulis, pasukan kreatif mahupun kru di set telah mencurahkan sepenuh tenaga dan kecintaan mereka terhadap drama ini.
Saya berharap penonton menikmati drama ini sebagaimana kami menikmati proses menyiapkannya.
Ini bukan drama biasa sebaliknya memaparkan realiti sisi gelap dunia hiburan dan ada banyak pengajaran yang boleh dijadikan renungan. Tolong sebarkan kepada semua dan tontonlah Dear X di saluran di HBO Max! – HIBGLAM
