DALAM diam, Ratu Rock Negara, Ella sering melakukan sumbangan peribadi kepada individu yang terkesan.
Perkara tersebut dikongsikan suaminya, Kapten Azhar Ghazali yang memaklumkan pemilik nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin, 59, lebih selesa merahsiakan kerja amalnya daripada pengetahuan umum.
“Saya beri contoh, Ella pernah menyertai misi kemanusiaan ke Lubnan, menyantuni mereka yang berada di khemah pelarian perang di Syria.
Dia juga bersama Yayasan Kebajikan Negara (YKN) untuk menyumbang idea pemikiran belia ke sekolah-sekolah seni untuk membina generasi baharu bermain muzik.
“Dia juga pernah terlibat menyantuni gelandangan-gelandangan dengan menghulurkan makanan. Cuma perkara-perkara itu tidak diumumkan,”katanya kepada HibGlam ketika ditemui di Sidang Media Pengumuman Konsert Majlis Tertinggi Rockqueen di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.
Kongsinya lagi, tujuan merahsiakan sumbangan tersebut bagi menjaga sensitiviti penerima sumbangan.
“Orang yang menerima sumbangan itu juga mungkin berasa malu, jadi kita menjaga sensitiviti dan privasi.
Sebenarnya, Ella ada senarai nama mereka yang memerlukan daripada pelbagai pihak, tetapi pihak penerima tidak tahu sumbangan tertentu itu daripada pihak Ella.
“Golongan tersebut daripada rakan artis, kawan-kawan, orang yang kesusahan, orang yang ada anak kurang upaya, yang sakit. Mereka sendiri pun tidak tahu mendapat sumbangan secara konsisten daripada Ella,” ujarnya.
Ella bakal hadir dengan sebuah konsert berskala besar pada 14 Februari 2026 di Stadium Nasional Bukit Jalil, lokasi yang pernah menjadi saksi detik monumental dalam kerjaya seninya.
Tiket akan mula dijual pada 8 Disember depan pada harga serendah RM39 sehingga RM499.
Setiap pembelian tiket akan disumbangkan RM2 kepada tiga organisasi kebajikan iaitu Persatuan Cinta Gaza Malaysia, Yayasan Kebajikan Negara dan Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air.
Pembeli perlu memilih tabung sumbangan pilihan mereka sama ada Peace (Persatuan Cinta Gaza Malaysia), Love (Yayasan Kebajikan Negara ) dan Rindu (Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air). – HIBGLAM
