BIARPUN berdepan dugaan besar apabila dua anggotanya kehilangan ibu bapa, kumpulan Mendua tetap kuat meneruskan perjuangan dalam program Gegar Vaganza musim ke-12.
Jika dua minggu lalu Pungky kehilangan bonda tercinta, Khamis lalu Diana pula berduka di atas pemergian bapanya.
Sehubungan itu, hanya Sasha dan Pungky sahaja beraksi pada konsert minggu kelima GV12 yang berlangsung semalam.
Menurut Sasha, dia mengalami gangguan keresahan apabila dua minggu berturut-turut diuji dugaan berat sehingga menuntutnya mengadakan persembahan secara duo.
“Sejujurnya ujian ini berlaku sangat pantas. Selepas Pungky, Diana pula. Belum sempat habis berduka atas kehilangan ibu Pungky, bapa Diana pula meninggal dunia.
Tetapi saya harus kuat dan teruskan perjuangan di GV12 biarpun tanpa salah seorang anggota. Inilah tugas saya.
“Jika dua minggu lalu saya beritahu Diana tak apa walaupun kita berdua, kita akan baik-baik sahaja. Dan minggu ini saya beritahu hal yang sama kepada Pungky pula,” katanya kepada HibGlam.
Ditanya bagaimana mereka melihat perjalanan Mendua di pentas GV12, kata Sasha perjalanan mereka boleh dibaratkan seperti gado-gado.
Minggu pertama kita semua bergembira kerana dapat ‘reunion’. Kemudian minggu ketiga Pungky berduka atas kematian ibunya. Minggu keempat kembali bahagia dapat berduet bersama Kaer Azami. Kemudian minggu ini kembali berduka.
“Pelbagai perasaan kami lalui. Ada manis, masam, masin semuanya berlaku dalam masa satu bulan,” jelasnya.
Masih terasa kehilangan ibu tercinta, Pungky sempat memberikan kata-kata semangat buat Diana.
“Saya beritahu Diana supaya kuatkan semangat, kedua orang tua kami kini berada di tempat yang lebih baik. Mereka tidak menanggung sakit lagi.
Tetapi dia ada beritahu saya air mata dia sudah habis. Dia minta kami menghiburkan dia,” kongsi.
Biarpun hanya berdua, Mendua tetap berjaya menawan hati juri dan mendapat tempat kedua menyampaikan lagu P.U.S.P.A daripada kumpulan ST12.
Minggu hadapan Mendua akan kembali bertiga dan akan membuat persembahan menerusi lagu Seindah Biasa nyanyian asal Datuk Seri Siti Nurhaliza. – HIBGLAM
