Aaron Aziz, produksi Banduan gerak misi bantuan banjir Pantai Timur

PELAKON Datuk Aaron Aziz, mendedahkan dia dan pihak produksi filem Banduan sepakat menggerakkan misi bantuan banjir ke Pantai Timur susulan beberapa negeri terjejas teruk akibat cuaca buruk.

Aaron atau nama sebenarnya Aaron Mustapha Aziz, 49, berkata keputusan itu diambil bagi memastikan kehadiran mereka ke kawasan tersebut bukan hanya untuk promosi, tetapi turut memberi manfaat kepada mangsa banjir.

“Kita akan turun Corporate Social Responsibility (CSR) untuk sebelah Timur sebab beberapa negeri sedang dilanda musibah. Jadi kita sepakat dengan produksi dan seluruh team untuk buat satu misi bantuan mangsa banjir.

“Tak manis kalau kita pergi sana untuk promosi, ‘happy-happy’, sedangkan negeri tu ada orang tengah susah. Jadi kita buat dua perkara sekali gus,” katanya kepada Kosmo! Online.

Tambah aktor kelahiran Singapura itu, misi tersebut akan bermula segera dan melibatkan barisan pelakon popular filem berkenaan.

“Okey, kita tiba hari Ahad. Esok terus kita bergerak ke Kelantan dan Terengganu, kawasan Kuala Terengganu antara lokasi utama.

“Antara barisan pelakon yang ikut serta termasuk Datuk Rosyam, Datuk Afdlin dan beberapa pelakon lain filem Banduan. Kita akan hulurkan sumbangan dan melawat kawasan terjejas.

“Sumbangan kali ini ditaja oleh Rosyam Mart. Barang semua dah ada dengan kami. Kita akan hantar ke Pusat Bantuan Marang dan Marang jadi lokasi penghantaran pertama,” ujarnya pada pertemuan eksklusif bersama pelakon filem Banduan, di sini, hari ini. .

Untuk rekod, filem Banduan mencatat kutipan melebihi RM7 juta setakat ini dan tayangannya masih berlangsung di seluruh negara.

Filem arahan Kroll Azry itu turut melakar sejarah tersendiri apabila menjadi olahan semula filem Tamil Malaysia pertama mencapai kutipan setinggi tersebut.

Selain Aaron, Banduan menampilkan barisan pelakon ternama seperti Datuk Rosyam Nor, Datuk Afdlin Shauki, Zul Ariffin, Fadhli Masoot dan Adlin Aman Ramli.

Terdahulu, beberapa kawasan di Pantai Timur dilanda hujan lebat dan banjir kilat akibat perubahan cuaca mendadak sejak beberapa hari lalu.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) turut mengeluarkan amaran hujan berterusan melibatkan beberapa negeri sehingga Sabtu dengan sebahagian kawasan diletakkan pada tahap Amaran Hujan Berterusan (Buruk) serta Amaran Hujan Berterusan (Waspada).

Sementara itu, ribut tropika Senyar yang melanda Semenanjung awal pagi tadi dilaporkan semakin lemah selepas mendarat di kawasan pantai antara sempadan Selangor dan Negeri Sembilan sebelum diturun taraf kepada sistem tekanan rendah, dijangka bergerak ke arah timur menuju Laut China Selatan. –  HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok