Unggul, Siti Nurhaliza terima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat

BIDUANITA Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin menzahirkan rasa syukur menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat pada Malam Gala Affin Invikta Top 50 Women of Excellence Awards 2025.

Katanya, pengiktirafan itu diharap dapat menyuntik semangat buat generasi masa hadapan terutama golongan wanita agar terus memperkukuhkan jati diri serta ekonomi.

“Saya bersyukur dan berterima kasih untuk anugerah ini. Saya harap pencapaian ini menjadi inspirasi kepada wanita kerana wanita hari ini bukan lagi hanya duduk di dapur tapi juga berada di barisan hadapan.

“Apabila ada penganjur yang menghargai wanita hebat dalam negara ini, secara tidak langsung membuatkan semua wanita mampu berdiri sama tinggi dan membantu menjana ekonomi negara.

“Setiap wanita termasuk suri rumah perlu kita hargai sebab pengorbanan mereka sangat besar. Walau kita tahu mereka duduk rumah, tapi tanggungjawab mereka jalankan cukup luar biasa,” katanya pada majlis yang berlangsung semalam.

Affin Invikta Top 50 Women of Excellence Awards menjadi antara platform nasional paling berpengaruh yang menghargai wanita berprestasi tinggi dalam menyumbang kepada kemajuan negara dan reputasi Malaysia di persada global.

Anugerah ini turut mengiktiraf wanita cemerlang daripada pelbagai sektor termasuk kewangan, sains, keusahawanan, pendidikan, perkhidmatan awam dan seni.

Antara penerima ialah pemenang Oscar dan aktivis global, Tan Sri Michelle Yeoh, tokoh kemanusiaan dan akademia, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood dan Ketua Hakim Syarie wanita pertama negara, Nenney Shuhaidah Shamsuddin.

Penerima lain Dr. Amalina Bakri (Clinical Research Fellow, Institute of Global Health Innovation), Datin Seri Sunita Rajakumar (Chairperson, Climate Governance Malaysia) dan Datuk Lee Bee Phang (Pesuruhjaya Polis, PDRM).

Prof. Datuk Dr. Aileen Tan Shau Hwai (Pengarah CEMACS), Tan Sri Datuk Seri Mazlan Othman (Tokoh sains angkasa dan pengarah ISC Asia-Pacific), Datuk Pandelela Rinong (Atlet Olimpik) dan Bella Astillah (selebriti) juga berada dalam senarai sama.

Proses penjurian dilaksanakan dalam tiga peringkat melibatkan pemilihan 300 calon dalam senarai pendek panel audit sebelum mereka mengenal pasti 50 terbaik untuk diumumkan pada majlis anugerah itu.

Pengasas dan Pengarah Urusan TOP50 Media Synergy, Kishvin Sirinavin berkata, anugerah itu bukan sekadar pengiktirafan, sebaliknya usaha mengangkat peranan wanita dalam membentuk masa depan negara. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok