‘Mereka pelajar cemerlang’ – FINAS sedia bantu anak Dharma teruskan pengajian

PERBADANAN Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menzahirkan komitmen membantu dua anak Allahyarham Dharma Harun Al Rashid meneruskan pengajian peringkat ijazah sarjana muda di Akademi Seni Budaya dan Warisan Negara (ASWARA).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, perbincangan dengan pihak ASWARA akan dilakukan segera bagi meneliti bentuk bantuan bersesuaian, khususnya dalam aspek pendidikan.

“Saya akan berhubung dengan ASWARA untuk mendapatkan kepastian kerana saya tahu kedua-dua anak arwah memang berhasrat melanjutkan pelajaran.

Apabila timbul persoalan dalam laporan sebelum ini mengenai keadaan kesihatan serta kewangan arwah, ada yang tertanya-tanya mengapa anak-anak tidak membantu.

“Tetapi sebenarnya, saya melihat arwah sendiri mahu anak-anak memberi tumpuan penuh kepada kejayaan akademik. Itu hasrat dan harapan arwah. Saya nampak perkara itu dengan jelas,” katanya kepada HibGlam.

Tambah Azmir, FINAS sedia mempertimbangkan bantuan wajar memandangkan kedua-dua anak allahyarham menunjukkan bakat serta rekod akademik membanggakan.

“Mungkin dari sudut FINAS, kita boleh pertimbangkan bentuk bantuan kepada anak-anak arwah, khususnya dalam aspek pendidikan.

Tetapi saya akan berbincang dahulu dengan ASWARA bagi melihat bagaimana FINAS boleh membantu. Saya yakin mereka mempunyai bakat dan potensi besar.

“Setahu saya, kedua-duanya antara pelajar cemerlang ASWARA, seperti yang arwah sendiri pernah ceritakan kepada saya dengan penuh bangga,” ujarnya ketika ditemui selepas memberi penghormatan terakhir buat Allahyarham Dharma di Masjid Abu Ubaidah Al Jarrah, Sri Rampai, hari ini.

Mengulas sumbangan Dharma dalam industri kreatif, Azmir menyifatkan pelakon filem Adik Manja itu sebagai antara figura penting dalam perkembangan dunia perfileman tanah air.

“Arwah banyak menyumbang kepada industri. Kita kenal karya-karyanya seperti Adik Manja yang bukan sahaja mengangkat namanya, malah memperkukuh industri filem negara.

Arwah terus berkarya hingga ke akhir hayat, termasuk menghasilkan Adik Manja Returns (2012) sebagai antara karya terakhirnya. Selain filem, arwah juga terlibat dalam penerbitan beberapa program televisyen,” jelasnya.

Paling penting katanya, Dharma sering meluahkan rasa bangga terhadap pencapaian akademik dua anaknya.

Saya dimaklumkan arwah berdepan pelbagai komplikasi kesihatan sejak kebelakangan ini. Syafiq dan kakaknya pula kedua-duanya pelajar ASWARA serta menunjukkan prestasi cemerlang.

“Itu yang arwah pernah kongsikan kepada saya. Beliau sangat bangga dengan mereka,” katanya yang baru tiba dari Penampang, Sabah selepas terbabit dengan Program Belia Kreatif Komuniti MADANI bersama Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Allahyarham Dharma, 68, dilapor meninggal dunia sendirian di kediamannya di Wangsa Maju, malam tadi. Berita duka itu dimaklumkan anaknya, Syafiq menerusi hantaran Instagram Story. – HIBGLAM

AZMIR memaklumkan Finas akan membantu anak Allahyarham Dharma iaitu Syafiq dan kakaknya meneruskan pengajian peringkat ijazah sarjana muda di Akademi Seni Budaya dan Warisan Negara.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok