‘Kalau nak kata saya contoh paling sempurna, jauh lagi…”

MENITI lebih dua dekad dalam gelanggang seni, nama Hisyam Hamid terus berdiri megah sebagai aktor berwibawa.

Deretan drama fenomena berhias wajahnya menjadikan figura itu kekal sebagai hero dambaan pemuja bakatnya.

Malah pesonanya kian menyala selepas melalui episod perpisahan dengan bekas isteri, Rosmawati Hana sekali gus memikul gelaran antara duda terhangat masa kini.

Kendatipun rumah tangga hampir dua dekad itu berakhir, hubungan mereka tetap jernih malah Hisyam aktif berkongsi detik bersama anak-anak dalam media sosial sehingga netizen melabelnya sebagai lelaki ‘green flag’ yang penyayang tanpa dibuat-buat.

Tersentak dan sedikit segan dengan julukan sedemikian, pemilik nama penuh Hazmi Hisyam Abd. Hamid itu tersenyum merendah diri.

Ujarnya, dia hanya seorang bapa yang sentiasa belajar memperbaiki diri demi keluarga.

“Masya-Allah. Saya tiada niat untuk tunjuk atau cakap saya ini bapa paling baik, cuma saya akan cuba beri yang terbaik kepada anak agar cukup segala-galanya.

Sebenarnya sekarang saya pun sudah kurang berkongsi sebab anak saya dah besar, mereka pun kadang-kadang malu dan segan. Kalau dahulu lagi aktif saya kongsi.

“Sesiapa yang rapat dengan saya tahu tujuan saya bekerja, tahu perjuangan saya untuk siapa. Kalau ada benda baik boleh dicontohi, alhamdulillah cuma kalau nak kata saya contoh paling sempurna, jauh lagi,” katanya kepada HibGlam.

Ditanya tentang kebimbangan terhadap isu sosial masa kini yang menghimpit remaja seusia anak-anaknya, lelaki berusia 40 tahun itu mengakui naluri seorang bapa menjadikannya sentiasa berjaga-jaga dan peka.

“Ya semestinya, keadaan dunia sekarang dengan macam-macam yang berlaku, memang merisaukan, terutama bila kita ada anak yang sudah besar.

Bagi saya, semuanya bermula dari rumah, cara kita didik, berbual dan cara kita beri ruang kepada mereka. Saya sangat sensitif bab anak.

“Sebab itu saya selalu pesan, kalau mereka ada masalah, saya mahu jadi tempat pertama mereka datang dan setakat ini, alhamdulillah, memang itu yang berlaku,” dedahnya.

SEBAGAI bapa Hisham berusaha memberikan yang terbaik buat dua zuriat kesayangannya malah sanggup bekerja keras demi mereka.

Dia bagaimanapun percaya, anak-anaknya tidak mudah terpengaruh dengan gejala luar kerana sudah diasuh dengan nilai kasih sayang dan empati sejak kecil.

Katanya, asas itu membentuk kematangan dua anaknya yang kini menginjak usia 16 dan 18 tahun.

“Sejujurnya saya sangat bersyukur. Mereka sangat matang. Mungkin sebab dibesarkan dengan banyak kasih sayang dan belas.

Dari kecil, saya biasakan mereka menyayangi orang sekeliling. Contoh, sebelum pergi sekolah mesti salam, cium, peluk orang tua. Balik sekolah pun sama.

“Benda itu jadi rutin wajib. Bila dah besar, mereka kekalkan. Mungkin pengalaman turut mematangkan mereka,” tuturnya.

Menginjak fasa baharu sebagai bapa tunggal, lelaki asal Singapura itu mengakui lebih selesa mendekati anak-anak sebagai ‘kawan’ yang memahami, bukan semata-mata sebagai penjaga yang mengatur hidup.

“Jadi sekarang ni saya rasa saya membesarkan kawan-kawan. Mereka sudah besar dan faham banyak perkara. Mereka tahu, kalau mak mereka ada apa-apa pun, mereka hanya perlu hantar mesej.

“Baru-baru ni pun ada benda yang anak saya tak okey, dia terus mesej. Kita berbual, kita telefon.

Mereka tahu saya sentiasa ada untuk mereka dalam apa keadaan sekali pun. Mereka tahu, kalau perlu, saya akan tinggalkan semua dan pergi kepada mereka,” ujarnya.

Dalam perkembangan karier, Hisyam sedang sibuk mempromosikan drama terbaharunya Saat Aku Tahu, sebuah naskhah psikologi romantik yang menyingkap soal kepercayaan, luka dan dendam dalam perhubungan.

Siri 15 episod tersebut menemui penonton dalam platform Viu pada setiap Khamis dan Jumaat sejak 6 November lalu, dibarisi pelakon hebat seperti Ummi Nazeera, Anna Jobling, Luqman Hafidz dan Datuk Eizlan Yusof bawah arahan Riza Baharudin. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok