SELEPAS bersiaran dalam air, empat penyampai Bekpes Hot stesen radio Hot FM kini menyahut cabaran Beskal Bekpes Hot berbasikal sejauh 450 kilometer dari Kedah ke Kuala Lumpur bermula hari ini.
Dalam misi hari pertama, Fara Fauzana, Johan, AG dan Khairy Jamaluddin memulakan kayuhan mereka di Menara Alor Setar, Kedah dan berakhir di Menara Jam, Sungai Petani.
Misi Bekpes Hot itu turut disertai pelakon, Amar Bahrin dan Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin atau Qobin.
Pagi tadi, segmen Bekpes Hot yang dikendali oleh Fara, AG dan Johan turut bersiaran dari Kedah.
Beberapa hari sebelum ini, Fara turut aktif berlatih berbasikal sebagai persiapan untuk misi yang akan merentas Kedah sehingga ke Kuala Lumpur.
Terdahulu, penyampai Bekpes Hot melakar kejayaan apabila menakluk laut terbuka dengan bersiaran secara langsung di kedalaman 10 meter bawah paras laut di Pulau Bidong, Terengganu pada Ogos lalu.
Bekfes Hot Skuba yang dilakukan mereka turut diiktiraf sebagai Siaran Radio Secara Langsung Yang Pertama Dan Terdalam Disertai Penyampai Di Laut Terbuka.
Lebih membanggakan, keempat-empat personaliti radio berkenaan juga melepasi tempoh yang disasarkan iaitu sejam apabila mampu ke udara di dalam air selama 90 minit.
Mereka juga pernah menerima pengiktirafan MBOR di bawah kategori melakukan Siaran Radio Terpanjang dan Tanpa Henti di Gunung Kinabalu.
Stesen terbabit melakar sejarah apabila bersiaran selama 24 jam tanpa henti sepanjang ekspedisi mendaki Gunung Kinabalu melalui kempen Bekpes Hot Tawan Puncak Kinabalu pada November 2025. – HIBGLAM
