‘Tiada tawaran, takkan orang langsung tak ingat saya?’

HAMPIR dua tahun tidak diajukan sebarang tawaran lakonan, pelakon Syanie Hisham mengakui berasa pelik dengan situasi itu.

Syanie atau nama lengkapnya Syaniza Hisham, 51, berkata, kadangkala dia tertanya-tanya sama ada keadaan fizikal bertubuh besar serta bertudung menjadi antara penyebab tiada pihak berminat memanggilnya.

“Sebenarnya jika dihitung sehingga Januari tahun depan genap dua tahun, saya tidak berlakon.  Tiada drama atau filem, langsung tiada tawaran.

“Saya bukan berhenti berlakon, cuma memang tiada (tawaran). Pelik jika difikirkan, takkan orang langsung tak teringat saya?

Mungkinkah kerana saya berbadan sebegini dan pakai tudung, jadi susah nak bagi watak tertentu. Itu saya tak tahu, saya cuma positif sahaja,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran buku P Ramlee Kisah Tanpa Noktah, baru-baru ini.

Menurut Syanie yang berhijab sejak empat tahun lalu, dia mencari rezeki dengan berniaga selain aktif membuat siaran langsung di TikTok untuk mendekati peminat.

“Saya buat ‘live’ di TikTok berkongsi aktiviti harian kerana dari situ orang tahu saya masih berlakon. Ikutkan rindu nak ke set penggambaran, duduk beramai-ramai, berlatih dialog.

Saya tak kejar watak utama, cukuplah sebagai sampingan. Apa pun saya bersyukur naskhah lakonan saya masih disiarkan sampai sekarang,” ujarnya.

Memulakan kerjaya lakonan sejak 1991, kali terakhir pelakon filem Senario The Movie, Laila Isabella, Buli Balik dan Apa Kata Hati itu beraksi di layar perak adalah menerusi Budak Flat.

Begitupun, peserta musim kedua program realiti MasterChef Selebriti itu tetap berlapang dada apabila masih dikurniakan rezeki melalui bisnes makanan.

“Rezeki tak salah alamat, kalau tak dapat tawaran berlakon saya fokus pada perniagaan. Ada juga buat ulasan produk, dapatlah tambah pendapatan,” katanya yang menjaga ibunya, juga penerbit Ruhani Abd Rahman. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok