BIARPUN bergelar selebriti popular dan sering menjadi pilihan jenama terkenal antarabangsa, pelakon dan pengacara jelita, Amelia Henderson tidak pernah memandang sebelah mata jenama tempatan.
Menurut Amelia atau nama lengkapnya Amelia Thripura Henderson, 30, jenama tempatan juga setanding dengan jenama antarabangsa malah jauh lebih murah dan mampu milik.
Disebabkan itu dia bersetuju untuk bekerjasama dengan Dr Cardin bagi mempromosikan jenama yang lebih 35 tahun bertapak dalam industri fesyen negara.
Amelia bersama beberapa lagi selebriti popular iaitu Nadhir Nassar, Bella Astillah dan Syed Saddiq terlibat dalam pertunjukan fesyen ‘live streaming’ Dr Cardin yang menampilkan konsep Kedai Runcit.
Bertindak sebagai hos, Amelia mengendalikan program yang disiarkan secara langsung dalam akaun TikTok itu selama lebih tiga jam.
“Saya anak Malaysia, jadi saya akan sokong jenama buatan Malaysia. Semudah itu. Bila bercakap tentang Dr Cardin, saya sukakan inovasi jenama ini. Setiap kali mereka keluarkan koleksi baharu, kita boleh lihat inovasi dalam setiap rekaan.
“Seperti acara yang berkonsepkan Kedai Runcit ini, bagi saya comel dan sangat Malaysia sekali gus menaikkan semangat patriotisma orang ramai.
“Saya sukakan rekaan kasut sneakers terbaharu Dr Cardin, sangat selesa dipakai. Bayangkan saya jadi hos untuk acara ini selama lebih tiga jam. Saya perlu bergerak ke sana sini. Kalau tak ada kasut yang selesa pasti akan merosakkan ‘mood’ nak bekerja,” katanya.
Ditanya rekaan mana yang paling digemarinya, kata pelakon filem Magik Rompak itu dia suka The Origin Heritage Sneakers rona ‘silver’ dan Drift Sneakers rona ‘red wine’.
“Kalau untuk beg pula, saya suka yang kecil dan comel. Jadi pilihan saya Dome Bag,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Amelia bakal bercuti bersama keluarganya tidak lama lagi selepas bekerja keras sepanjang tahun.
“Tahun ini ada tiga filem lakonan saya ditayangkan. Jadi lepas ni saya mahu berehat sebentar. Tahun depan akan sambung masuk set penggambaran filem baharu,” katanya.
