Ini rezeki luar jangkaan, tak pernah fikir akan menang – Qismina

SETIAP anak seni pasti ada impian besar untuk menggenggam trofi dalam mana-mana acara tetapi cepat atau lambat rezeki itu tidak dapat dijangka.

Dan, sudah tertulis rezeki itu buat pelakon Qismina pada Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34) baru-baru ini.

Dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik FFM34 menerusi lakonan hebatnya dalam filem Babah, aktres berusia 28 tahun itu mengakui seakan bermimpi apabila namanya diumumkan pada malam tersebut.

“Alhamdulillah, benda yang tak pernah saya terfikir akan dapat. Ini anugerah sulung selepas dua dekad berlakon.

“Berada dalam senarai top 5 bersama lima finalis lain iaitu Nabila Huda, Khatijah Tan, Maya Karin dan Sofia Jane yang semua orang tahu bakat mereka luar biasa sudah cukup bernilai untuk saya

“Ini rezeki di luar jangkaan, dari awal saya tak pernah letak harapan tinggi untuk menang. Pertama kali hadir ke FFM dan menang,” kata Sweet ketika ditemui HibGlam baru-baru ini.

Tanggungjawab

Mengakui kemenangan tersebut disertai dengan tanggungjawab besar, pemilik nama penuh Farhanna Qismina Supandi itu enggan menabur sebarang janji sebaliknya berazam menambah baik kualiti kerja pada masa akan datang.

“Ini salah satu anugerah berprestij di Malaysia dan semua pelakon mengimpikannya. Jadi, satu beban dan tanggungjawab besar juga untuk saya pikul.

“Namun, saya akan beri kualiti kerja yang maksima, menjaga nama baik kategori Pelakon Wanita Terbaik FFM dan terus harumkan nama Sweet Qismina,” ujarnya yang menceburi dunia lakonan seawal usia sembilan tahun. 

Akui isteri pelakon Adam Lee itu, melihat senarai top 5 Pelakon Wanita Terbaik, dia menjangkakan kemenangan akan berpihak kepada Nabila Huda yang memberikan persembahan hebat dalam filem Telaga Suriram.

“Lepas saya tonton lakonannya dalam Telaga Suriram, memang tak boleh dinafikan kualiti kerjanya sangat bagus. 

“Saya fikir dia yang akan berada di atas pentas tapi trofi ini sebenarnya untuk semua pelakon wanita lain juga. Mereka seniwati hebat dan sangat saya hormati,” ujarnya yang anggun menyarung baju kurung rona hijau pada malam tersebut.

Babah

Memenangi trofi menerusi filem bertemakan kekeluargaan dan banyak berendam air mata, aktres berusia 28 tahun itu berbangga diberikan kepercayaan memainkan peranan sebagai Maya dalam Babah.

Baginya, setiap usaha melakonkan karakter sebagai penghidap Guillain-Barre syndrome (GBS) sehingga perlu menurunkan berat badan sangat berbaloi.

“Pada awalnya rasa mustahil untuk bawa watak Maya sebab sangat berat tetapi saya terima dan sahur cabaran ini.

Kalau tanya adegan paling meninggalkan impak, jawapannya babak saya kahwin dan tak dapat raikan hari bahagia itu bersama bapa. Situasi itu saya lalui dalam kehidupan sebenar ketika berkahwin dengan Adam sebab arwah ayah meninggal dunia pada usia saya 11 tahun.

“Saya curahkan semua rasa yang tak mampu diluahkan kepada arwah ayah  untuk filem Babah,” kongsinya.

Menurut Sweet lagi, kemenangan filem Babah arahan Mohd Shah Faizul sebagai Filem Terbaik FFM34 juga disebabkan kerja keras seluruh pasukan produksi yang mahu menghasilkan karya terbaik untuk tontonan rakyat Malaysia.

“Kejayaan naskhah ini sebenarnya disebabkan peranan menyeluruh termasuk skrip, pengarah, kru dan pelakon. 

“Tak lupa juga babah saya iaitu Qi Razali, dia banyak membantu dan buatkan hubungan bapa dengan anak dalam filem ini sangat hebat. Gandingan yang orang tidak jangka menjadi.

“Respons positif penonton turut membuatkan filem ini tular sekali gus menarik lebih ramai orang untuk menontonnya. Terima kasih untuk semuanya,” tuturnya.

Selain Pelakon Wanita Terbaik dan Filem Terbaik, Babah turut menjulang trofi Pelakon Lelaki Terbaik, Cerita Asal Terbaik dan Lakon Layar Terbaik.

Menerusi kemenangan besar itu, Sweet  membawa pulang wang tunai RM5,000 ringgit sementara kategori Filem Terbaik pula pemenang menerima geran Dana Kandungan Kreatif (DKK) berjumlah RM1 juta.



Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok