PELAKON Hamish Daud yang juga suami kepada penyanyi Raisa menafikan berselingkuh dengan cef selebriti, Sabrina Alatas seperti yang didakwa netizen.
Menurut Hamish, 45, kewujudan folder dalam platform Pinterest seperti yang tular itu adalah bagi mencari idea untuk rekaan hiasan dalaman kediaman keluarga Sabrina.
Dia turut menjelaskan sudah mengenali Sabrina dan keluarga sejak 10 tahun lalu.
“Saya sudah lebih dari 15 tahun menceburi bidang arkitek dan sering mencari idea seni hiasan.
“Contoh rekaan dalam itu (Pinterest) adalah untuk memberi idea kreatif rekaan dalam kediaman ibu bapanya, bukan Sabrina.
“Khabar (dakwaan curang) itu tidak benar, kami hanya berkawan dan sudah mengenali Sabrina dengan keluarga sejak 10 tahun lalu,” katanya kepada media dalam satu temu bual hari ini.
Tambah Hamish, dia meminta maaf kepada keluarga Sabrina apabila turut terheret dalam tuduhan negatif tersebut.
Dia bagaimanapun memilih untuk membiarkan sahaja khabar angin tersebut dan tiada perancangan untuk memgambil sebarang tindakan undang-undang.
“Sepertinya sukar ambil tindakan undang-undang untuk isu yang sudah viral.
“Saya hanya boleh memberi klarifikasi bahawa semua itu tidak benar,” ujarnya.
Dalam masa sama, dia turut menegaskan perceraian dengan Raisa bukan disebabkan orang ketiga mahu pun curang sebaliknya atas keputusan bersama.
“Kami berpisah secara baik dan semua sudah dipersetuju secara bersama.
“Kini hubungan kami adalah sebagai sahabat (selepas berpisah),” jelasnya.
Hamish turut menzahirkan permohonan maaf kepada keluarga Raisa susulan kemelut rumah tangga yang berlaku terutama ketika ini ibu mentuanya menghidap kanser paru-paru tahap empat.
“Saya mohon maaf kepada Raisa dan keluarganya.
“Dia sedang melalui fasa sukar terutama ibunya juga sedang sakit,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Hamish didakwa curang dengan Sabrina apabila dikatakan mempunyai sebuah ‘folder’ dalam Pinterest bertajuk ‘Future House’ (rumah masa depan) yang memuatkan gambar hiasan dalaman serta rekaan rumah seolah-olah sedang merancang hidup bersama.
Tanggal 24 Oktober lalu, wakil Pejabat Agama Jakarta Selatan (PA Jaksel), Abid M.H mendedahkan tuntutan perceraian difailkan Raisa terhadap Hamish pada 22 Oktober.
Menurut Raisa atau nama lengkapnya Raisa Andriana, 35, sepakat untuk berpisah secara baik selepas melalui proses perbincangan yang panjang.
Terdahulu, Raisa Andriana, 35, dan Hamish Daud diijabkabulkan pada 3 September 2017 di Jakarta.
Hasl perkahwinan, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Zalina Raine Wyllie. – HIBGLAM
