Siti Nurhaliza kini Profesor Adjung UiTM

MELAKAR satu lagi pencapaian, Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza dilantik sebagai Profesor Adjung Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPP), Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Siti atau nama lengkapnya Siti Nurhaliza Tarudin, 46, menganggap pengiktirafan terbabit sebagai tanggungjawab untuk berkongsi ilmu dan pengalaman sedia ada sebagai anak seni serta usahawan.

“Saya rasa begitu rendah diri kerana saya bukanlah ahli perniagaan yang masyhur.

Alhamdulillah sebagai seorang selebriti yang bergiat aktif dalam dunia perniagaan, saya diberikan banyak kelebihan untuk menjadi usahawan berjaya.

“Saya amat terharu dengan penghormatan yang diberikan kerana ini bukan satu pengiktirafan dalam bidang seni dan keusahawanan tapi satu amanah besar di mana saya akan kongsi pengalaman dan ilmu sepanjang berada dalam industri,” katanya.

Pada masa sama, pelantun lagu Menamakanmu Cinta itu berharap penglibatannya di UiTM dapat membantu melahirkan lebih ramai pelajar menjadi ahli perniagaan yang terbaik.

Terbukanya hati untuk menerima tawaran ini selepas menilai sumbangan kepada anak bangsa.

“Diharap dengan penglibatan saya ini dapat mengajak lebih ramai pelajar UiTM untuk bergelar usahawan berjaya,” ujarnya lagi.

Pihak UiTM memaklumkan pengiktirafan tersebut diberikan selepas Siti berjaya mencipta kejayaan gabungan antara kreativiti, integriti dan daya inovasi dalam mengangkat jenama tempatan ke peringkat antarabangsa.

Tambahnya, Siti akan memainkan peranan penting dalam membimbing pelajar dan warga akademik melalui perkongsian pengalaman sebenar dunia keusahawan termasuk sesi ‘masterclass’.

Siti menerima watikah pelantikan dalam satu majlis yang berlangsung di UiTM kampus Shah Alam hari ini.

Majlis tersebut turut dihadiri Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin dan Dekan FPP Profesor, Ts Dr. Shafinar Ismail. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok