‘Pantau anak itu penting, kami sangat menentang permainan Roblox’

PELAKON Diana Danielle mengambil pendekatan untuk menghantar dua anaknya iaitu Muhammad, 12, dan Nur Aurora, 10, menyertai pelbagai aktiviti sukan sekali gus sebagai cara daripada terjebak dengan perkara negatif yang membimbangkan hari ini.

Menurut Diana, 35, pendekatan tersebut bukan sahaja dilakukannya seorang diri tetapi juga bekas suaminya, Farid Kamil yang sangat menyokong dan sentiasa memainkan peranan memantau aktiviti anak-anaknya.

“Kalau tanya bagaimana kawal kebebasan anak-anak, cara yang saya dan Farid lakukan ialah sibukkan jadual mereka seperti empat kali seminggu akan bermain bola sepak.

“Mereka habis sekolah pukul 3 petang kemudian bola sepak pada pukul 6 petang yang adakalanya sehingga pukul 10 malam. Hujung minggu pula ada ‘tournament’. Jadi, apabila asyik bersukan, bila pulang ke rumah sudah letih, kemudian terus tidur.

“Sebenarnya ada sahaja masa mereka guna gajet dan menonton televisyen tetapi tidak lama sebab kebanyakan energi sudah dikeluarkan untuk sukan,” katanya kepada Kosmo! Online selepas sidang media drama Hikayat Batu Belah Batu Bertangkup di sini, semalam.

Tambah Diana, dia juga komited memainkan peranan sebagai ibu dengan memastikan dapat meluangkan masa dan dalam masa sama memantau perkembangan anak-anaknya setiap hari.

Jelasnya, Farid juga memainkan peranan sebagai bapa dengan baik terutama dalam menguruskan jadual melibatkan aktiviti sukan anak mereka.

“Saya akan hantar anak-anak ke sekolah setiap pagi. Ketika itulah saya dapat tengok keadaan mereka.

“Sebelum tidur juga, tambahan pula mereka masih tidur dengan saya. Memang setiap malam dan pagi saya akan pantau mereka sekarang saya banyak bekerja dari rumah, ini peluang supaya sentiada ada masa bersama anak-anak.

“Farid pula akan uruskan mereka punya aktiviti sukan kerana tempat latihan bola sepak berdekatan dengannya sementara saya pula tentang pelajaran dan persekolahan.

“Di situ kami cuba seimbangkan peranan masing-masing dalam menguruskan kehidupan harian anak-anak,” ujarnya.

Ujarnya lagi, dia dan Farid menghalang anak-anaknya daripada bermain permainan online termasuk Roblox yang popular dalam kalangan generasi muda hari ini.

Ayah mereka pun memang sangat menentang permainan Roblox itu sejak dulu sehingga sekarang.

“Pemantauan ibu bapa sangat penting. Sebab kadang-kadang mungkin ibu tak nampak tapi ayahnya nampak kesan-kesan buruknya.

“Sebagai ibu bapa, kelemahan atau kesilapan yang orang lain lakukan, kami cuba ambil iktibar dan ubahlah ikut yang semampunya,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Diana bakal muncul menerusi drama yang akan bersiaran di Astro Ceria bermula 3 November depan iaitu Hikayat Batu Belah Batu Bertangkup.

Antara pelakon hebat lain yang turut membintangi drama tersebut ialah Arabella Allen, Fimie Don, Ezzanie Jasny, Aliff Satar, Elly Mazlein, Niezam Zaidi dan Bell Ngasri. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok