BERSEMPENA hari kelahiran isteri, Amira Othman yang ke-32 tahun, pelakon Fattah Amin merakamkan ucapan penuh makna dan romantis buat wanita tersebut.
Fattah atau nama lengkapnya Abdul Fattah Mohd. Amin, 35, meluahkan rasa cinta dan penghargaan terhadap Amira yang disifatkan sebagai sumber kekuatan dalam kehidupan mereka sebagai suami isteri.
“Selamat hari lahir isteri syurgaku Nadia Amira Othman.
“Semoga di hari kelahiran tahun serba baharu bersama mahligai yang baru kita bina ini membuatkan dirimu terus kuat menempuh hari hujan dan panas serta tidak tahu panjang atau pendek perjalanannya.
“Saya sayangkan awak kerana Allah dan Dia sahaja yang tahu saya menyayangimu, “katanya dalam hantaran Instagram.
Selain itu, pelakon drama Hero Seorang Cinderella itu turut menitipkan doa agar isterinya sentiasa dilimpahi rahmat dan keberkatan Ilahi.
“Suamimu ini akan sentiasa mendoakan yang baik-baik sahaja buat dirimu berada di bawah perlindungan-Nya.
“Diberkati hidupmu, diberi kesihatan yang baik, dilimpahkan rezeki oleh-Nya dan sentiasa menjadi manusia yang menjadi inspirasi untuk semua orang yang melihatmu,” tuturnya lagi.
Sebelum ini, Amira dan Fattah selamat disatukan pada 14 September lalu dalam majlis tertutup penuh indah di sebuah resort mewah di Sepang. – HIBGLAM
