‘Tiada persefahaman, Uqasha tidak boleh teruskan perkahwinan’

MAHKAMAH Syariah Wilayah Persekutuan hari ini menetapkan tarikh 28 Oktober bagi prosiding kedua perceraian pasangan selebriti Uqasha Senrose dan Kamal Adli.

Menurut peguam yang mewakili peguam Uqasha iaitu Nurfarhana Abd Manaf, prosiding terpaksa ditangguhkan memandangkan Kamal tidak hadir ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, pagi tadi.

Alhamdulillah Uqasha hadir seawal pukul 9 pagi hari ini dan pihak defendan tidak hadir tetapi diwakili penguam syarie Abdul Hadi Mohamad Saleh.

“Jadi disebabkan ketidakhadiran pihak defendan hari ini, kes tidak dapat diteruskan dan terpaksa ditangguh kepada tarikh yang akan datang iaitu minggu depan 28 Oktober,” katanya kepada HibGlam di pekarangan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, hari ini.

Nurfarhana turut memaklumkan tujuan perceraian berlaku disebabkan tiada persefahaman dalam rumah tangga menyebabkan anak guamnya tekad untuk bercerai.

Tujuan perceraian adalah alasan biasa iaitu tiada persefahaman. Plaintif memfailkan perceraian di bawah Seksyen 47, jadi memang alasan tiada persefahaman.

“Oleh kerana anak guam merasakan tidak boleh diteruskan, jadi keputusan bercerai terpaksa diambil walaupun bukan mudah.

Kalau ikutkan memang pelbagai usaha supaya tak terjadinya tuntutan perceraian pada hari ini. Tapi kita serahkan kepada jodoh.

“Kalau adalah, adalah jika tidak inilah pengakhiran Uqasha,”katanya lagi.

Selain itu, Nurfahana mengesahkan anak guamannya memfailkan lafaz cerai pada 1 Oktober lalu namun Kamal langsung tidak menunjukkan usaha memujuk.

Apa yang saya dimaklumkan tiada. Saya tak pasti kalau sebaliknya. Setakat ini tiada. Berkenaan dakwaan berapa lama tidak lagi tinggal sebumbung yang itu tidak boleh didedahkan.

“Soal kebajikan anak itu kita tak boleh sentuh. Saya harap kita fokus kepada perceraian,” jelasnya.

Terdahulu rumah tangga pasangan berkenaan dikatakan mulai bergolak sejak April lalu.

Difahamkan, Uqasha kini tidak lagi tinggal sebumbung dengan Kamal dan menetap di rumah ibunya.

Sebelum ini, beberapa hantaran berupa luahan hati Uqasha mengundang pelbagai reaksi netizen, malah ada yang mengaitkan hantaran tersebut dengan situasi rumah tangga yang mungkin sedang bergolak.

Walau bagaimanapun Uqasha memilih mengunci mulut ketika ditemui media di program MeleTOP malam tadi.

Uqasha Senrose dan Kamal Adli sah bergelar suami isteri pada 5 November 2021 di Janda Baik, Pahang.

Mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira yang kini berusia 18 bulan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok