Pilih tenang, penyanyi idola ucap selamat tinggal

DALAM dunia hiburan Korea Selatan, kemasyhuran sering digambarkan sebagai kemuncak kejayaan anak seni.

Pun begitu, bukan semua insan bergelar selebriti mahu terus dilimpahi cahaya populariti hingga ke penghujung usia.

Ada waktunya, sinaran lampu sorot terasa terlalu terang, membuatkan sebahagiannya memilih untuk memadamkan glamor dan kembali hidup dalam kesederhanaan.

Mereka meninggalkan karier ketika berada di puncak, menukar pentas konsert kepada kehidupan tenang, jauh daripada kamera dan radar populariti.

Kimchi Panas minggu ini menyingkap lima figura Korea yang pernah menjadi kegilaan ramai, namun akhirnya memilih menutup tirai kemasyhuran demi mencari makna hidup sebenar.

Sunye

Pernah memegang status idola sejuta remaja sebagai anggota Wonder Girls, Sunye merupakan antara vokalis paling dihormati dalam dunia K-pop.

Mempunyai pakej lengkap, wajah jelita, suara mendayu dan lincah menari, aura wanita berusia 36 tahun itu sukar ditandingi.

Namun pada saat namanya harum mewangi seantero dunia, Sunye membuat keputusan luar jangkaaan meninggalkan dunia hiburan untuk berkahwin dengan jejaka pilihannya yang dikenali sebagai James Park.

Keputusan itu mengejutkan ramai termasuk pemuja bakatnya apatah lagi dalam industri yang terkenal dengan disiplin ketat terhadap idola, tindakan wanita tinggi lampai itu dianggap keberanian luar biasa.

Kini, Sunye menjalani kehidupan sederhana tanpa sorotan kamera, mengabdikan diri kepada keluarga dan kegiatan kemanusiaan bersama suami tercinta.

Kim Sung-hee

Pernah menjadi tunjang kepada kumpulan KARA, Kim Sung-hee juga memilih jalan sunyi.

Di puncak kegemilangan, idola berusia 36 tahun itu mengejutkan dunia hiburan dengan memutuskan untuk berundur demi memberi tumpuan terhadap pelajaran dan kehidupan rohani.

Bakat nyanyian Sung-hee tidak pernah diragui, namun keinginannya untuk mendalami ilmu dan mendekatkan diri kepada Tuhan lebih besar daripada segala kemasyhuran yang dinikmati.

Selepas meninggalkan KARA, dia jarang muncul dalam media, namun keputusannya dijadikan rujukan artis muda Korea sebagai simbol keberanian menentang tekanan glamor industri hiburan.

Meski tidak lagi aktif, namanya masih disebut sebagai antara penyanyi paling berbakat yang pernah lahir dalam industri K-pop.

Eunjin

Nama Eunjin mula dikenali sebagai anggota kumpulan DIA pada 2015 dengan wajah jelita lembut, aura menyerlah dan berbakat besar

Namun, di sebalik senyumannya tersembunyi penderitaan kesihatan yang semakin meruncing.

Akibat keadaan fizikal tidak mengizinkan, idola berusia 28 tahun itu nekad berundur daripada dunia hiburan.

Keputusan itu mencetuskan rasa sebak dalam kalangan peminat yang tahu betapa cintanya Eunjin terhadap muzik.

Kini, dia hidup jauh dari lensa kamera, menikmati masa dengan keluarga serta memberi tumpuan memulihkan tahap kesihatannya.

Walaupun tidak lagi di atas pentas, nama Eunjin tetap terpahat dalam hati peminat sebagai simbol keberanian dan ketabahan.

Hong Yoo-kyung

Tidak ketinggalan dalam senarai Kimchi Panas minggu ini ialah bekas anggota Apink, Hong Yoo-kyung yang membuktikan bahawa kejayaan tidak hanya diukur dengan populariti.

Ketika rakan-rakannya terus menakluk carta muzik, idola berusia 31 tahun itu memilih arah berbeza iaitu menyambung pelajaran di Universiti Chung-Ang.

Bagi gadis jelita itu, dunia pendidikan lebih memberi makna buat dirinya malah keputusan tersebut disambut dengan rasa hormat ahli kumpulan dan peminat.

Kendatipun meninggalkan dunia hiburan, Yoo-kyung masih dikenang sebagai antara anggota Apink paling berdisiplin dan elegan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok