HANYA berbaki sebulan, konsert penyanyi asal England, Craig David yang sepatutnya berlangsung di Mega Star Arena Sg. Wang pada 10 November ini dibatalkan.
Perkara itu diumumkan penganjur, T-Rex Studio Sdn. Bhd. yang memaklumkan konsert Craig David PresentscTS5: Live in Kuala Lumpur tidak dapat direalisasikan atas sebab tertentu.
Keputusan yang berat ini terpaksa dibuat pihak penganjur atas masalah-masalah yang tak dapat dielakkan,” katanya dalam kenyataan media.
Berdasarkan hebahan awal, Raja R&B dan UK Garage itu bakal kembali ke Malaysia selepas sedekad dengan kali ini membawakan aksi mega menerusi konsep unik TS5 iaitu gabungan persembahan vokal secara langsung dan set DJ.
Kunjungan penghibur berusia 44 tahun itu ke Malaysia juga bersempena pelancaran album studio kesembilannya berjudul Commitment yang dilancarkan pada 8 Ogos lalu.
Mengenai tiket penganjur berkata, semua pembeli akan menerima pulangan balik penuh termasuk caj tiket dan bayaran pemprosesan.
” Proses bayaran balik akan dibuat secara automatik ke kaedah pembayaran asal yang digunakan semasa pembelian di Ticket Empire.
Bagi pembelian menggunakan FPX (perbankan dalam talian), pihak Ticket Empire akan menghubungi pembeli menerusi emel untuk mendapatkan butiran akaun bank.
“Proses bayaran balik dijangka mengambil masa sekitar 15 hingga 30 hari bekerja dari tarikh pengumuman,” ujarnya.
Pada masa sama, sebagai tanda penghargaan atas sokongan peminat, semua pemegang tiket juga akan menerima ebaucar Grab bernilai RM10, yang akan dihantar melalui akaun rasmi T-Rex Studio di WhatsApp.
Pihak penganjur merakamkan terima kasih atas kesabaran dan sokongan berterusan daripada peminat, meskipun konsert yang dinanti-nantikan ini tidak dapat diteruskan,” katanya.
Bagi pertanyaan lanjut, pembeli tiket boleh menghubungi talian WhatsApp rasmi 011-33482950 atau emel ke [email protected]. – HIBGLAM