Ardell Aryana rebah, penyokong GSF panik

PELAKON Ardell Aryana tiba-tiba rebah sewaktu menuju ke bas selepas sidang media yang berlangsung di Balai Ketibaan, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Lebih mencemaskan, pemilik nama sebenar Nur Hidayah Mohd Amin, 35, itu menggendong anak perempuannya sewaktu rebah.

Wajah Ardell kelihatan pucat sebelum rebah dalam lautan manusia yang hadir memberikan sokongan kepada sukarelawan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF).

Situasi itu menyebabkan ramai panik, namun polis bantuan yang mengiringi isteri kepada pelakon Nadzmi Adhwa itu dilihat pantas menghulurkan bantuan kepada wanita itu.

Sementara itu, Nadzmi yang berada di belakang dilihat meluru mendapatkan isterinya sambil mendukung anak.

Ardell merupakan antara aktivis yang tampil berucap sewaktu sidang media sempena meraikan ketibaan 23 delegasi Malaysia bersama Sumud Nusantara dan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hassan .

Pada Sabtu lalu, kesemua 23 sukarelawan GSF dibebaskan selepas ditahan sejak 2 Oktober lalu dalam misi menghantar bantuan ke Gaza.

Kesemua 23 sukarelawan selamat tiba di KLIA pada pukul 10.13 malam tadi dari Instanbul, Tukri selepas dibebaskan daripada tahanan rejim Zionis

Kesemua 23 sukarelawan termasuk selebriti Zizi Kirana, Ardell Aryana, Heliza Helmi dan Hazwani Helmi merupakan sebahagian daripada lebih 500 sukarelawan dari beberapa buah negara yang turut berlayar sejak September lalu.

Kapal dinaiki mereka dipintas tentera Israel sebelum dilayan dengan kejam sepanjang menjadi tahanan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok