Usop tangguh lancar lagu baharu bagi menghormati GSF

Bagi menghormati misi bantuan kemanusiaan, Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza, penyanyi Usop terpaksa menangguhkan pelancaran lagu terbaharunya berjudul Pulang yang sepatutnya dilancarkan pada hari ini.
Pada masa sama, pemilik nama sebenar Muhammad Saiful Naim Muhammad Noor, 28, turut mengangguhkan persembahannya di Kelantan yang dijadual berlangsung pada hari ini.
“Assalamualaikum semua, dengan rasa rendah hati saya nak maklumkan lagu pertama nasyid saya saya Pulang bersama Ustaz Firdaus dan Gau Nasheed yang sepatutnya keluar esok (hari ini)terpaksa ditunda ke tarikh lain.
“Satu lagi persembahan saya esok (hari ini) di Kelantan pun ditunda sebab nak beri penghormatan kepada Global Sumud Flotilla,” katanya dalam Threads.
Berkongsi lanjut, pelantun lagu Selamanya itu turut berharap orang ramai tidak putus mendoakan pasukan GSF termasuk mengharapkan mereka yang ditahan di Israel pulang dengan selamat.
“Sama-sama kita doakan semoga urusan mereka dipermudahkan.
“Kita juga doakan sahabat-sahabat kita yang berada di sana semoga selamat pulang, insya-Allah.
“Kita jangan berhenti doa sampai semua ini selesai dan insyaAllah kita jumpa di tarikh baru nanti. Terima kasih atas doa dan sokongan kalian,” ujarnya.
Terdahulu, misi GSF yang disertai hampir 500 aktivis dari 45 negara itu berlayar menuju Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel.
Begitupun, situasi menjadi gawat apabila tentera Israel memintas konvoi terbabit sekali gus menahan sukarelawan termasuk semua rakyat Malaysia yang menyertai flotilla termasuk penyanyi, Zizi Kirana, Ardell Aryana, Heliza Helmi dan Hazwani Helmi.
Sebelum ini misi terbabit mendapat perhatian dunia apabila turut disertai tokoh antarabangsa termasuk aktivis iklim Greta Thunberg, pelakon Hollywood, Susan Sarandon serta cucu Nelson Mandela, Mandla Mandela.
Menurut laporan media antarabangsa, semua aktivis sudah dipindahkan Pelabuhan Ashdod ke pusat tahanan paling besar dan ketat, Penjara Ktzi’ot di Gurun Negev.
Hari ini, Kosmo! Online melaporkan Turkiye merancang menghantar pesawat khas ke Israel untuk membawa pulang 140 rakyatnya bersama aktivis-aktivis flotila dari Malaysia dan Indonesia yang ditahan Tentera Laut Tel Aviv.
Pada masa sama, GSF melancarkan satu lagi misi dengan membawa doktor serta wartawan dan membawa beberapa tan bantuan kemanusiaan termasuk makanan dan ubat-ubatan untuk penduduk Palestin di Gaza.  – HIBGLAM
Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok