MAHKAMAH Rendah Syariah Petaling menetapkan 21 Oktober sebagai tarikh perlantikan islah (mahkamah) bagi proses tuntutan perceraian yang difailkan penyanyi Datuk Nora Ariffin.
Peguam syarie mewakili Dr. Rusdi iaitu Azmi Mohd. Rais mendedahkan pihak ketiga yang dikaitkan sebagai punca keretakan rumah tangga pasangan itu sebenarnya merupakan salah seorang anak kepada isteri pertama Dr. Rusdi.
Cadangan untuk menyelamatkan rumah tangga memang ada. Tadi ada cadangan daripada pihak kami untuk memanggil pihak yang dikatakan menjadi punca keretakan rumah tangga iaitu pada asalnya kami ingat isteri pertama, rupanya anak kepada isteri pertama.
“Jadi, kami akan syorkan kepada hakam islah yang akan dilantik untuk memanggil anak tiri kepada plaintif.
“Sekiranya ada maaf-maafan, insya-Allah plaintif boleh tarik balik kes inilah. Insya-Allah itu yang kami harapkan daripada pihak defendan tapi kita tunggu dan lihatlah,” katanya kepada HibGlam ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Rendah Syariah Petaling, hari ini.
Sementara itu, Dr. Rusdi tetap mahu mempertahankan perkahwinannya dengan Nora selain berusaha mencari perdamaian.
“Sehingga hari ini, insya-Allah, Nora masih lagi isteri saya yang sah. Jadi, saya akan terus berusaha untuk mempertahankan, melindungi perkahwinan saya dengan dia.
Pada masa yang sama, saya akan juga berusaha untuk mencari perdamaian dan menghilangkan segala pergeseran, salah faham, kekeliruan yang masih berlaku lagi.
“Itu usaha yang akan saya lakukan dan saya mohon doa yang terbaik.Maknanya kena cari solusi yang boleh membawa kepada perdamaian sebab itu ada pelantikan hakam islah,” ujarnya.
Hari ini berlangsungnya pembentangan laporan wakil hakam pertama iaitu hakam keluarga.
Nora melantik anak sulungnya Mohd. Syakir Iman, 32, sebagi wakil hakam, sementara Dr. Rushdi turut melantik anak sulungnya, Muhammad Shahkir, 34, sebagai wakil.
Pada 21 April lalu, Nora memfailkan permohonan perceraian selepas tercetus pelbagai konflik susulan hantaran Instagram yang memaparkan video lafaz cerai Rushdi terhadapnya.
Selepas sebulan mengumumkan perceraian, Nora bagaimanapun memaklumkan dia dan suami sudah kembali rujuk.
Sebelum ini, Nora mengesahkan sudah bergelar isteri kepada Rushdi yang juga Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh dan Usul, Universiti Malaya pada 2021.
Nora sebelum itu pernah mendirikan rumah tangga bersama komposer, Allahyarham Johan Nawawi pada 1992 dan dikurniakan empat cahaya mata.
Johan meninggal dunia pada 24 Mac 2017 pada usia 52 tahun akibat serangan jantung. – HIBGLAM