5 bintang K-pop paling laris, aura luar biasa

JIKA dahulu artis Korea hanya popular di rantau Asia, kini mereka mendominasi carta muzik antarabangsa, muncul di festival muzik bertaraf global dan berjaya menjual jutaan tiket konsert di seluruh pelosok dunia.

Fenomena tersebut bukan sahaja menunjukkan kekuatan muzik K-pop yang merentas bahasa dan budaya, tetapi juga mencerminkan kesetiaan peminat yang sanggup terbang beribu kilometer, berbelanja besar dan beratur panjang semata-mata untuk menyaksikan idola mereka beraksi di pentas.

Dari stadium mega di Asia hingga arena ikonik di Amerika dan Eropah, artis-artis Korea membuktikan mereka kini berada dalam liga tersendiri, sebaris dengan bintang antarabangsa seperti Coldplay, Taylor Swift dan Beyonce.

Berikut adalah lima artis Korea dengan jualan tiket konsert paling banyak di dunia yang telah mencatatkan pencapaian luar biasa dalam sejarah hiburan moden.

BTS

SEBAGAI ikon global K-pop, BTS mencatat sejarah melalui jelajah Love Yourself: Speak Yourself (2019) dengan hampir satu juta tiket terjual di seluruh dunia.

Jelajah tersebut mengutip lebih AS$116 juta (RM545.2 juta), sekali gus meletakkan mereka sebaris dengan nama-nama besar antarabangsa seperti Coldplay dan Ed Sheeran.

Persembahan tersebut berlangsung di 10 kota utama merangkumi Amerika Utara, Amerika Selatan, Eropah, Jepun, Arab Saudi dan Korea Selatan.

BTS yang dianggotai Jimin, RM, J-Hope, V, Suga dan Jung Kook juga terkenal dengan keupayaan mereka ‘menjual’ tiket habis dalam beberapa minit sebaik dibuka.

G-Dragon

IKON K-Pop G-Dragon sekali lagi mencipta rekod dan sejarah menerusi persembahan jelajah dunianya yang terbaharu.

Pada 20 September 2025, anggota kumpulan Big Bang itu bakal mengadakan konsert solo terbesar oleh artis Korea di Eropah di Paris La Défense Arena selepas berjaya menjual habis 45,000 tiket dalam hanya beberapa jam.

Konsert ini turut digelar sebagai konsert solo K-pop paling spektakular dalam sejarah Eropah malah peminat membanjiri media sosial dengan gambar dan klip persembahan yang penuh gaya serta keunikan fesyen khas G-Dragon.

Blackpink

KUMPULAN wanita popular, Blackpink memecahkan pelbagai rekod melalui jelajah dunia Born Pink.

Dengan lebih 1.8 juta penonton daripada 66 persembahan, mereka mengutip kira-kira AS$330 juta bersamaan RM1.55 bilion, menjadikannya jelajah paling berjaya dalam sejarah kumpulan wanita Asia.

Dianggotai Rose, Lisa, Jisoo dan Jennie, kumpulan itu merupakan wanita pertama yang menjadi ‘headliner’ di festival muzik Coachella.

ENHYPEN

MUNCUL sebagai antara generasi baharu K-pop paling berpengaruh, ENHYPEN antara kumpulan paling berpengaruh masa kini.

Dalam jelajah Walk the Line pada 2024, mereka berjaya menjual lebih 407,000 tiket daripada 36 persembahan, dengan jumlah kutipan hampir AS$ 63 juta (RM296.1 juta).

Pencapaian terbabit membuktikan bahawa ENHYPEN kini berada dalam kelompok teratas artis K-pop dengan pengaruh global yang semakin kukuh.

SEVENTEEN

KUMPULAN terdiri 13 jejaka, SEVENTEEN turut membuktikan kekuatan mereka melalui jelajah FOLLOW yang berlangsung pada 2023 hingga 2024.

Menerusi 24 persembahan, SEVENTEEN berjaya menjual sekitar 865,000 tiket dengan kutipan mencecah AS$98.4 juta (RM462.48 juta).

Kejayaan itu menjadikan mereka sebagai antara kumpulan K-pop paling laris menurut Billboard. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok