DIDAKWA menggunakan anak untuk meraih perhatian, pelawak Achey terkilan dengan tuduhan jahat yang dilemparkan kepada dirinya.
Tidak dapat menahan sebak, Achey atau Mohd Nasir Hamzah, 39, berharap pihak berkenaan pihak tidak mengecam isteri mahupun puteri mereka, Tiara yang berusia tujuh tahun.
“‘Sebab awak dah sendu kan?’ Ya, betul memang tengah sendu.
“Jangan buat akaun palsu semata-mata nak beri komen yang tidak baik kepada saya.
“Saya tiada masalah kalau kalian nak kecam saya tetapi kalau kecam anak dan isteri saya tu, saya pun terasa,” katanya dalam sebuah video TikTok.
Pada masa sama, pelakon filem Mat Tudung Begins itu turut kecewa apabila ada yang menuduhnya makan duit hasil perniagaan anaknya.
“Saya paling tidak tahan kalau orang kecam anak saya. Anak saya tidak tahu apa-apa. Sampai sekarang orang cakap saya makan duit anak saya.
“Kalau kalian cakap saya tumpang rezeki anak saya, memang betul saya tumpang rezeki dia.
“Selepas Tiara Candy meletop, kalian ada nampak ke saya suruh dia berniaga lagi? Tiada kan? Saya juga yang meniaga,” ujarnya.
Pada 2023, Achey berasa terkejut apabila perniagaan makanan ringan yang dijalankan Tiara menerima sokongan luar biasa daripada netizen.
Dia juga bersyukur apabila mereka berjaya menjual sebanyak 3,000 pek gula-gula dan menerima ‘gift’ daripada pengikut di TikTok.
Achey dan isterinya iaitu Nor Hasanah Yahaya mengambil Tiara sebagai anak angkat selepas kanak-kanak itu dilahirkan pada 2018. – HIBGLAM