‘Mahu berundur, letih rebut tempat yang tiada pun untuk saya’

TERKILAN tidak dihargai, Fadlan Hazim mengambil keputusan berundur seketika daripada dunia lakonan selepas usaha bertahun-tahun seakan dipandang sepi.

Fadlan atau nama lengkapnya Fadlan Hazim Anuwar, 33, mengakui sudah terlalu penat apabila selepas sekian lama memberi sepenuh jiwa terhadap kerjaya seni tetap berakhir dengan kekecewaan.

“Saya sudah penat bertahun-tahun ditolak, mencurahkan masa, hati dan jiwa terhadap seni yang saya cintai serta menunggu seseorang ‘nampak’ saya tetapi hanya mendapat penolakan.

Sejujurnya, kebanyakan masa saya berada dalam kegelapan. Bukan mahu meraih simpati, cuma nak jujur pada diri sendiri dan pada sesiapa yang pernah rasa tak wujud.

“Buat masa ini saya ingin berundur seketika. Demi kebaikan, saya tak tahu lagi sampai bila. Mungkin untuk selama-lamanya. Cuma saya tahu sudah letih bertarung merebut tempat yang hakikatnya tiada pun ruang untuk saya,” katanya dalam hantaran di laman sosial.

Menerusi perkongsian sama, aktor yang memulakan langkah dalam dunia hiburan sejak 15 tahun lalu itu
mengakui tetap berbangga dengan semangat juangnya menempuh perjalanan ini.

Ini bukan kecil hati, ini realiti apabila anda mengetuk setiap pintu (tetapi) anda masih berada di luar. Apa pun saya bangga dengan perjuangan itu walaupun tiada siapa nampak.

“Jika anda mengejar sesuatu yang lari daripada anda, mengertilah bahawa anda tidak keseorangan,” ujarnya.

Fadlan juga tidak ketinggalan menitipkan penghargaan kepada mereka yang melihat hasil kerjanya selain menaruh kepercayaan terhadap bakatnya biarpun secara senyap.

Anda yang buat saya terus bertahan lebih lama dalam arena ini daripada yang saya jangkakan,” katanya.

Sepanjang kariernya, selain peragaan Fadlan juga pernah menyertai kumpulan VIP (Versatility In Perfomance) di bawah naungan KRU Music sekitar 2010, namun memilih haluan sendiri dua tahun kemudian.

Langkahnya menyerlah dalam lakonan selepas membintangi filem Sniper pada 2014 disusuli Jibam The Movie, Sangkar, Seratus, manakala drama bersiri pula termasuk Cinta Si Wedding Planner, KL Gangster: Underworld, Kampung People 2 dan Curang Tanpa Niat. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok