Nak maju, kena ada kepelbagaian dalam nyanyian – Noryn Aziz

PENYANYI Noryn Aziz kurang bersetuju dengan terma ‘menyanyi telan kaset’ yang diberikan sebagai pujian kepada kebanyakan penyanyi menjayakan persembahan pentas dengan cemerlang.

Noryn atau nama sebenarnya, Norazmahwati Abdul Aziz, 48, berkata, untuk persembahan secara langsung atau live, adalah lebih baik menyuntik elemen dinamik dan memiliki rendisi lain berbanding versi rakaman studio.

“Minta maaf cakap, orang sekarang suka guna ayat ‘bunyi macam kaset’. Bagi saya, masing-masing punya pendapat.

“Secara peribadi, saya berasakan, seseorang penyanyi itu perlu ada kepelbagaian dalam nyanyian supaya dia boleh ke depan (maju).

“Bagilah (nyanyi lain) berbanding menyanyi sama sama setiap kali persembahan. Kalau nak sangat sama macam kaset, baik saya dengar kaset,” katanya kepada Kosmo! Online usai showcase cemerlang yang dilunaskannya, This Is Noryn Aziz di Auditorium Auditorium Bandaraya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kelmarin.

Diberi penghormatan sebagai antara juri Anugerah Industri Muzik (AIM), Noryn menegaskan, persembahan live sangat penting sebelum menentukan seseorang penyanyi itu diangkat sebagai pemenang khususnya dalam kategori vokal.

“Bila penjurian lebih kepada rakaman (bukan live), kita dengar nyanyian mereka dalam album tapi kita boleh tahu, mereka boleh guna ‘other things’ (masukkan elemen lain).

“Zaman sekarang, mikrofon ada macam-macam jenis, efek bunyi autotune dan sebagainya untuk (bunyi) yang sedap.

“Tapi untuk adil dalam penjurian, kita juga periksa penyanyi boleh atau tidak menyanyi live menerusi klip-klip yang ada (persembahan pentas).

“Sebabnya tak adil untuk mereka yang pandai menyanyi tapi mungkin takda duit nak buat mastering di AS (Amerika Syarikat).

“Kena ada sumber-sumber lain sebelum mereka dinobatkan pemenang AIM. Ini soal kredibiliti dalam pertandingan—sebab kita tak nak bagi trofi pada orang yang salah,” katanya.

Malam Sabtu lalu, Noryn menjayakan showcase This Is Noryn Aziz di Auditorium Auditorium DBKL dengan cukup cemerlang dengan menghadirkan persembahan luar biasa.

Dibahagikan kepada beberapa segmen, persembahan lebih kurang dua jam itu turut menyaksikan Noryn mendendangkan dua lagu baharunya termasuklah Kaki Kiriku dan Jangan Bukan Bukan.

Noryn juga mendendangkan lagu R&B popularnya termasuklah Cerita Cinta, Alam Maya, Make It On My Own dan Kembalikan. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok