‘Sedih kaki ibu bakal dipotong, tapi Gaza lebih derita’

Menuju misi genting ke Gaza, pelakon dan aktivis kemanusiaan, Ardell Aryana masih mampu  bertenang saat menerima berita tentang ibunya, Sawiyah Abdullah yang perlu menjalani pembedahan memotong kedua-dua kaki akibat komplikasi diabetes kronik.

Ardell atau nama sebenarnya Nurul Hidayah Mohd Amin, 35, berkata perkhabaran berat itu merupakan ujian buat dirinya namun menyifatkan tidak sebesar dugaan dilalui rakyat Palestin’ sejak bertahun-tahun lalu.

Saya punya sedih Allah uji saya dengan emak saya. Ketika saya di tengah laut ini, saya dapat keputusan daripada doktor mengatakan kondisi emak saya sangat tak baik.

“Ujian saya tentang mak saya, tapi ujian saudara kita (di Gaza) bukan tentang keluarga, tapi semuanya” katanya dalam siaran langsung di TikTok, baru-baru ini.

Isteri kepada pelakon Nadzmi Adhwa antara 15 rakyat Malaysia termasuk penyanyi Zizi Kirana yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) bagi menghantar bantuan ke wilayah dijarah rejim Zionis.

Sejak berlepas dari Malaysia akhir bulan lalu, Ardell kerap berkongsi perkembangan terkini misi membabitkan sebanyak 38 kapal dari seluruh dunia.

Rombongan GSF menuju ke Gaza selepas berlayar dari Sicily, Itali menuju ke perairan Mediterranean dan dijangka tiba di destinasi sasaran dalam tempoh 10 hari lagi.

Beberapa hari lalu dia berkongsi perkembangan pelayarannya dengan bersyukur berjaya melepasi semua peringkat saringan serta latihan yang diwajibkan sepanjang pelayaran.

Doakan misi ini berjaya. Saya bawa banyak susu untuk anak-anak di sana, bawa ubat-ubat untuk hospital. Tolonglah sekatan dibuka supaya bantuan ini dapat masuk,” ujarnya.

Pada masa sama, pelakon drama Asam Pedas Untuk Dia itu memaklumkan sukar berkongsi perkembangan dengan kerap kerana siaran langsung di media sosial hanya dapat dibuat selepas mendapat kebenaran pihak berkaitan atas faktor keselamatan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok