MESKI sedang berdepan kes mahkamah, penyanyi Naim Daniel bersyukur masih diberi peluang mengadakan persembahan walaupun mengakui pernah kehilangan beberapa peluang lain sebelum ini.
Naim atau nama sebenarnya Muhammad Naim Daniel Baharin, 28, mengakui hidupnya ketika ini bukan berada dalam fasa yang baik namun tetap perlu menghadapinya dengan berlapang dada.
“Ini bukan perjalanan mudah. Sudah tentu ada beberapa peluang yang saya terlepas.
“Tapi saya percaya setiap ujian hadir untuk mendewasakan saya. Hidup mesti diteruskan.
“Jadi, saya sibukkan diri dengan perkara yang berfaedah,” katanya ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Naim berkata dia kini banyak memberi fokus kepada penghasilan lagu selain memenuhi jemputan persembahan.
“Alhamdulillah, saya masih menerima tawaran persembahan, namun lebih berhati-hati dalam memilih.
“Buat masa ini, mahu beri tumpuan penuh terhadap penulisan kerana itu saluran terbaik untuk saya berkarya.
“Menghasilkan lagu adalah tanggungjawab saya sebagai penyanyi dan anak seni,” ujarnya.
Tambah Naim, dia juga sentiasa memastikan dirinya kekal aktif dan dikelilingi oleh individu yang menyokongnya.
“Saya juga sentiasa berada dalam kalangan insan tersayang termasuk keluarga dan rakan-rakan.
“Selain itu, saya juga pastikan diri kekal cergas. Kalau diri sendiri tidak sihat, bagaimana saya mahu jalani hari dengan baik?
“Cukup tidur, fokus dan kekalkan inspirasi dalam penulisan lagu,” ujarnya. – HIBGLAM