PELAKON Fattah Amin mendedahkan dia dan isteri iaitu penyanyi Amira Othman memiliki pemikiran dan matlamat hidup yang sama sekali gus menguatkan lagi hubungan mereka.
Menurut Fattah atau nama penuhnya Abdul Fattah Mohd Amin, 35, bukan sahaja tentang kehidupan, pandangan mereka berdua tentang agama juga selari.
“Banyak bercakap tentang kerja tetapi kami ada topik yang saya suka iaitu mengenai agama dan tujuan hidup.
Kami ada persamaan bila berbual tentang hidup kerana pemikiran dan kepercayaan kami sama.
“Apabila kami bersetuju tentang perkara yang sama, hidup akan seronok,” katanya dalam siaran langsung TikTok semalam.
Fattah dalam masa sama menegaskan setiap pasangan perlu sekufu dalam hal berkaitan agama dan kehidupan.
“Saya rasa agama memang perlu letak ditempat pertama dalam hidup.
Bila nak berpasangan, itu yang perkara paling utama iaitu pegangan agama dan hidup.
“Kalau dua benda itu tidak selari, takut perkara lain tak sama,” katanya lagi.
Menerusi siaran langsung sama, Fattah turut memaklumkan anak perempuannya, Nur Fatima Aisya memanggil Amira ‘aunty Mira’.
“Fatima panggil Amira ‘aunty Mira’,” katanya ringkas.
Pada 14 September lalu, Fattah dan Amira selamat bergelar suami isteri dalam sebuah majlis pernikahan di Sepang.
Sebelum ini, Fattah pernah mendirikan rumah tangga dengan aktres Nur Fazura pada tahun 2017 namun berpisah talak satu pada 7 Oktober tahun lalu.
Mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Fatima yang kini berusia lima tahun. – HIBGLAM