MENEPATI ramalan, penyanyi Ernie Zakri menggungguli kategori Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis atau Komposer Luar Negara Terbaik menerusi lagu Masing Masing di Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24).
Ernie atau nama sebenarnya Nur Ernie Shahirah Zakri, 33, menyifatkan kerjasama bersama komposer Indonesia, Ade Govinda sebagai memori terindah.
Alhamdulillah kolaborasi antara Jakarta dan Kuala Lumpur.
“Terima kasih Ade atas Kerjasama yang indah ini.
Banyak kenangan manis yang kita gapai. Terima kasih keluarga, Universal Music Malaysia dan juga Ernienators (kelab peminat),” katanya selepas menerima trofi.
Masing Masing berjaya menewaskan lagu Dursila nyanyian Meiska, Cinta Tak Pernah Tepat Waktu (Aina Abdul dan Fabio Asher), Naluri (Sekumpulan Orang Gila dan Boniex For Revenge) dan Sejarah (Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Sementara itu, Ade bersyukur lagu ciptaannya menerima anugerah kedua bagi lagu Masing Masing.
Terima kasih, penghargaan kedua. Terima kasih kerana mendengarkan lagu Masing Masing,” ujarnya ringkas.
Selepas merangkul trofi, Ernie sempat membuat persembahan menyanyikan lagu Kisah Penuh Kecewa bersama penyanyi Indonesia, Anggi Marito.
Selain itu, dia juga mempersembahkan lagu Masing Masing dengan iringan gitar Ade.
Sebelum ini, lagu ciptaan Ade Govinda dan Nabila V itu melakar sejarah di luar negara apabila berjaya merangkul anugerah Soundtrack Sinetron Paling Ngetop di acara SCTV Music Awards. – HIBGLAM