MENGETEPIKAN pesaing lain, penyanyi Aina Abdul berjaya menggungguli kategori Lagu Pop Terbaik menerusi lagu Jangan Mati Rasa Itu pada Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24).
Aina atau Nurul Aina Abdul Ghani tidak menjangka dapat merangkul trofi tersebut sambil menitiskan air mata kegembiraan.
Rasa macam nak pitam, saya tak menjangkakan ini sebenarnya.
“Bagi saya lagu-lagu dalam kategori ini adalah lagu dalam ‘playlist’ saya,” katanya.
Dengan pencapaian ini, Jangan Mati Rasa berjaya menumpaskan Hasrat nyanyian Amir Jahari, Santai (Faizal Tahir), Rahsia Tuhan (Noh Salleh) dan Aura (Ernie Zakri).
Pada masa sama, Aina menzahirkan rasa syukur ke hadrat Ilahi dan merakamkan ucapan terima kasih kepada ibunya, Zaini Abdullah yang sentiasa mendoakan yang terbaik buat dirinya dan kerjaya muzik.
Dia turut menitipkan penghargaan buat pihak pengurusan dan peminat yang selalu mendorongnya meneruskan karier dalam dunia seni.
Terima kasih kepada Allah SWT atas rezeki yang besar ini. Ibu saya yang sentiasa mendoakan kebahagiaan serta kesejahteraan saya.
“Keluarga Aina Abdul Entertainment yang tolak saya terus kuat dan terus hidup.
“Kepada Ainations juga yang sentias mendokong saya,” – ujarnya lagi. – HIBGLAM