BELUM sempat 24 jam dilancarkan, lagu Rasa & Takdir dendangan Amira Othman dan adiknya, Irfan Haris sudah mencetuskan fenomena apabila pelancarannya bertukar menjadi pentas pengumuman kahwin pelakon Fattah Amin dan penyanyi terbabit.
Strategi penuh kejutan itu bagai serampang dua mata yang berhasil apabila lagu tersebut berjaya mendapat publisiti malah mengejutkan peminat dengan pengumuman pernikahan pasangan terbabit pada 14 September ini.
Sejurus pengumuman dibuat, media sosial seakan-akan meledak dihujani komen peminat yang tidak putus-putus menitip doa di ruangan komen video muzik terbabit.
Saya datang sini lepas tengok pengumuman Fattah dan Amira. Semoga dipermudahkan urusan mereka ke jenjang pelamin. Tak sabar nak tunggu 14 September ini,” tulis seorang pengikut.
“Dengar Irfan menyanyi pun dah sayu, tiba-tiba umum berita pernikahan pula. Hari ini memang gembira dan terharu. Semoga mereka berbahagia sampai ke syurga. Amin. Lagunya memang best,” komen peminat.
“Bukan main pandai timing. Lagu dilancar, kahwin pun umum. Memang strategi mantap,” ujar netizen.
Menariknya, sebelum ini pasangan terbabit hanya menyatakan hubungan sekadar rakan sekerja biarpun kedua-dua keluarga sudah saling mengenali rapat.
Namun, segalanya terjawab apabila mereka mengumumkan ikatan suci itu secara terbuka hari ini.
Lagu Rasa & Takdir tulisan dan ciptaan Syafiq Rashid serta diterbitkan Wan Saleh itu dilihat memperoleh perhatian luar biasa selepas gimik tersebut.
Kini, seluruh mata tertumpu pada 14 September nanti, detik yang bakal menyaksikan Fattah dan Amira bertukar status daripada rakan sekerja kepada pasangan halal di sisi agama. – HIBGLAM