BERMULA dengan penganjuran gig secara kecil-kecilan pada 2017, kini festival muzik Hausboom menjadi sebuah jenama besar dan menjadi acara tahunan dalam kalendar muzik tempatan.
Tahun ini, Hausboom sekali lagi membuktikan kemampuan apabila mengumumkan penganjuran festival muzik dan gaya hidup tahunan terbesar iaitu AirAsia Hausboom Festival 2025 dikuasakan Hotlink dengan konsep baharu, Paint the Town Red.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Hausboom, Azri Zahier Azmi, festival yang akan berlangsung di MAEPS Serdang pada 11 dan 12 Oktober depan bakal menampilkan seramai 33 penyanyi tempatan dan dari Indonesia.
“Setiap tahun festival ini tidak mempunyai ketetapan penyanyi genre apa yang akan membuat persembahan. Tahun ini, kita ada legenda seperti Datuk M.Nasir, Datuk Jamal Abdillah dan Ella.
Jika melihat senarai penyanyi yang kami bawakan dan dengan harga tiket yang ditawarkan, memang sangat murah dan berbaloi.
“Setakat ini jualan tiket berjalan dengan agak laju dan hanya tinggal 20 peratus tiket untuk dijual,” ujar Azri.

TIGA figura seksi Dolla tidak ketinggalan memasuki senarai sebagai artis peledak pada Hausboom menjelang Oktober nanti.
Selain M. Nasir, Jamal Abdillah dan Ella, barisan penghibur utama yang akan memeriahkan pentas acara ialah Def-Gab-C, Slam, serta nama besar lain seperti Noh Salleh & Restoe Iboe, Bunkface, K-Clique, 6ixth Sense, Spider, Salammusik, Dolla, Insomniacks, Margastawa, Gerhana Skacinta dan DJ Fuzz.
Antara penyanyi Indonesia yang akan memeriahkan festival termasuklah Kunto Aji, Bernadya, Feby Putri dan Ghea Indrawar.
Kolaborasi bersama AirAsia juga menjadikan festival kali ini lebih daripada sekadar festival muzik.
Tambah Azri, selain muzik, festival kali ini turut menghimpunkan lebih 100 vendor makanan, sekali gus merupakan pengalaman baharu apabila bekerjasama dengan Pin Yang yang merupakan pemilik platform saluran makanan terkenal, KL Foodie.
“Buat julung kali, Hausboom bakal bekerjasama dengan personaliti media sosial, Pin Yang iaitu pemilik platform saluran makanan terkenal KL Foodie yang sangat dikenali dalamTikTok dan Instagram, bagi membawakan Hausboom KL Foodie Fest.
Festival ini menghimpunkan lebih 100 vendor makanan unik, daripada juadah jalanan yang menarik, hidangan popular, hingga sajian istimewa yang sukar ditemui.
“Masuk adalah percuma untuk KL Foodie Fest yang dibuka dari 10 pagi hingga 12 malam. Semua peringkat umur tanpa sekatan boleh masuk,” jelasnya.

TERKENAL dengan lagu Pulang, kumpulan Insomniacks juga akan menghiburkan pengunjung Hausboom yang berlangsung di MAEPS Serdang bulan depan.
Lebih menarik, tahun ini Hausboom turut bergabung tenaga dengan Perodua untuk memberikan pengalaman festival yang lebih luar biasa.
Setiap pemegang tiket AirAsia Hausboom Festival 2025 dikuasakanHotlink berpeluang memenangi sebuah Perodua Ativa melalui cabutan bertuah eksklusif yang akan diumumkan secara langsung di pentas utama sepanjang festival.
Inilah pertama kali hadiah sebesar ini ditawarkan, menjadikan festival bukan sahaja pengalaman muzik yang menyeronokkan tetapi juga peluang untuk pulang dengan kereta baharu,” ujar Azri.
Tiket untuk AirAsia Hausboom Festival 2025 dijual dengan harga bermula RM119 (General Admission), RM299 (Rockzone) dan RM1,200 (VVIP).
Menariknya, pas VVIP menawarkan pengalaman eksklusif termasuk premium view deck, hidangan serta minuman percuma tanpa had, tandas peribadi dan laluan ekspres. Tiket boleh didapati di sayalive.io/hausboomfestival2025.
AirAsia Hausboom Festival 2025 dikuasakan Hotlink akan berlangsung di MAEPS, Serdang pada 11 dan 12 Oktober ini. – HIBGLAM