‘Kenapa perkecil, menilai pengalaman kehamilan orang lain?’

PENYANYI Syasya Rizal menzahirkan rasa kesal terhadap segelintir wanita yang gemar membandingkan pengalaman kehamilan sesama sendiri hingga menyinggung perasaan ibu lain.

Syasya atau nama sebenarnya Syasya Norsyasya Afiqah Shahrizal, 24, menegaskan setiap kehamilan mempunyai jalan cerita tersendiri dan sepatutnya tiada ruang untuk dijadikan bahan sindiran.

“Tidak semua perjalanan kehamilan sama.

Saya kurang gemar apabila ada wanita yang suka memperkecil atau menilai pengalaman orang lain. Mengapa perlu buat begitu?,” luahnya menerusi hantaran Threads.

Luahan tersebut tercetus selepas bekas anggota kumpulan Dolla itu membalas hantaran seorang individu yang senada dengan pandangannya bahawa setiap kehamilan datang dengan cabaran berbeza.

Kenyataan tersebut turut menerima perhatian netizen yang rata-ratanya menyokong pendirian ibu satu anak itu.

Setiap ibu ada rezeki dan ujian sendiri. Janganlah sampai menghakimi kerana kita tidak tahu apa yang dilalui mereka,” tulis seorang pengguna Threads.

“Lebih baik saling mendoakan daripada membuka ruang untuk mengata,” kata netizen.

“Syasya mengandung ke? Kami sentiasa bersama awak, terus kuat dan jangan peduli kata-kata negatif,” komen seorang pengikutnya.

Meskipun belum memberi sebarang kenyataan sama ada benar dirinya berbadan dua, gosip mula bertiup kencang selepas wujud rakaman video ‘unboxing’ bersama suami, Nasrullah yang memperlihatkan seakan-akan kelibat ‘baby bump’.

Pun begitu, luahannya tentang pengalaman mengandung itu semakin menguatkan spekulasi bahawa penyanyi itu kini meniti fasa awal kehamilan kedua.

Untuk rekod, Syasya mendirikan rumah tangga bersama Nasrullah pada 20 April 2024.

Hasil perkongsian hidup, pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Muhammad Yassir Hayyan pada 23 Disember tahun sama. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok