MENOLAK dakwaan filem gangsterisme tempatan sebagai pengaruh utama kes buli, Datuk Aaron Aziz menjelaskan pelbagai faktor lain turut menyumbang ke arah peningkatan gejala itu di peringkat sekolah.
Aaron atau nama lengkapnya Aaron Mustapha Aziz, 49, banyak lagi paparan berkaitan kongsi gelap, samseng mahupun keganasan yang tidak mempunyai tapisan mudah diakses golongan muda di platform media sosial.
“Saya tidak nafikan filem gangster mungkin antara puncanya. Sewaktu KL Gangster ditayangkan, memang ada ibu bapa hubungi saya meminta nasihatkan anak mereka yang terpengaruh dengan babak aksi.
Saya ada titipkan ingatan kepada mereka secara baik tapi sebenarnya bukan daripada filem semata-mata, ada banyak lagi faktor lain termasuk YouTube yang memang tiada tapisan.
“Begitupun, pokok pangkalnya adalah kawalan kendiri. Setiap paparan penonton perlu nilai betul-betul selain melihat mesej yang diketengahkan,” katanya selepas pelancaran kempen SocialCeleb di PJ Pac, baru-baru ini.
Bapa kepada tiga anak itu turut mendedahkan pernah membantu beberapa mangsa buli yang berdepan tekanan emosi atas dasar tanggungjawab sosial kepada masyarakat.
“Ada ibu bapa hubungi saya minta bantuan. Kita tolong setakat termampu dengan berjumpa pelajar terbabit yang menjadi mangsa buli, dengar masalahnya dan bagi nasihat.
Sebenarnya saya dah banyak buat cuma tak uar-uarkan saja. Saya ke sekolah mangsa buli dan cakap individu itu ‘anak buah’ saya walaupun dia anak kawan.
“Apabila saya buat macam itu barulah ada usaha untuk ambil tindakan dan mula ambil kisah masalah dihadapi mangsa berkenaan,” ujarnya.
Menurutnya lagi, terdapat satu kes agak kronik membabitkan seorang pelajar yang membawa pisau ke sekolah atas alasan ingin mempertahankan diri daripada berterusan diganggu.
Dia juga tidur dengan pisau sampai ibu bapanya telefon minta saya bantu. Kami berborak dan saya suruh belajar Muay Thai. Sekarang dia makin berkeyakinan,” katanya.
Mengenai kempen SocialCeleb, Aaron merupakan star mentors (mentor selebriti) bagi platform pencarian bakat yang mula dibuka kepada calon peserta pada 9 September ini.
Kami bukan sekadar mencari bakat baharu, bahkan berusaha membina asas kerjaya yang mampan dan berkualiti dalam industri hiburan dengan menyediakan hala tuju jangka panjang,” kongsinya.
Berminat untuk menyertai projek yang menyediakan input menerusi gabungan bengkel, bimbingan mentor berpengalaman dan pendedahan kepada projek industri sebenar boleh mendaftar di www.social-celeb.com. – HIBGLAM