‘Moga jadi sangat kaya, sebarkan kebaikan mana sahaja saya pergi’

PELAKON Datin Atikah Suhaime menegaskan gelaran ‘Datin’ bukan tiket untuk menunjuk-nunjuk kemewahan, sebaliknya sebagai ruang untuk berkongsi rezeki dengan orang sekeliling.

Ujar Atikah atau nama sebenarnya Nur Atikah Mohd. Suhaime, 34, sejak bergelar isteri kepada Datuk Lokman Teh, kehidupannya berubah dengan lebih banyak memberi, bukan sekadar untuk diri dan keluarga malah komuniti serta pengikut dalam media sosial.

“Sejak jadi Datin, saya belanja emas tebal-tebal, hampir tiap hari makan Omakase, belanja ibu mentua rawatan rambut mewah.

Pergi mana-mana pakai pemandu, pastikan mama dan papa dapat belanja bulanan lebih dari mencukupi. Staf Zaitun pun saya belanja makanan setiap kali masuk pejabat.

“Belanja Amir (adik) dan dayang-dayang (penjaga) Mulan makan mewah. Derma kepada orang rawak dalam talian, belanja pengikut sesi senaman percuma bersama jurulatih peribadi,” ujarnya menjawab pertanyaan netizen mengenai makna sebenar gelaran Datin buat dirinya.

Tambah pelakon TanTiAna itu, sebahagian besar perbelanjaannya kini tertumpu kepada anak tersayang, Lyla Mulan Teh dan penjaganya.

“Saya suka beli baju random untuk Mulan dalam TikTok, kadang-kadang terbang balik ke Singapura sesuka hati sebab rindu masakan mama.

“Penjaga Mulan pun saya belanja rawatan rambut di salon.

Saya mahu mereka turut rasa bahagia sementara menjaga Mulan. Dalam masa sama, saya juga menyokong jenama tempatan. Harapan saya, satu hari nanti boleh jadi sangat kaya dan sebarkan kebaikan ke mana sahaja saya pergi,” luahnya.

Perkongsian tersebut pantas menjadi bualan malah rata-rata netizen teruja melihat sikap murah hati Atikah yang disifatkan berbeza daripada tipikal imej seorang Datin.

“Tak semua Datin macam ni, kagum tengok cara Atikah belanja tanpa berkira,” komen seorang pengguna media sosial.

Rezeki makin luas sebab dia suka bahagiakan orang lain. Moga terus dimurahkan rezeki,” tulis seorang peminat.

Untuk rekod, Atikah mendirikan rumah tangga dengan Datuk Lokman Teh yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif jenama kecantikan Zaitun, pada Januari tahun lalu.

Pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata, Lyla Mulan Teh, pada 8 Mac lepas. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok