LAMA vakum daripada sebarang perkongsian seni, penyanyi juga pelakon, Ziha Salleh kembali membuat kemunculan semula di pentas muzik dengan single terbaharu berjudul Romansa, menampilkan sentuhan genre city pop yang segar dan penuh emosi.
Kali terakhir muncul dengan single Cinta Malam Purnama pada 2023, wanita berusia 30 tahun berkolaborasi dengan penyanyi dan komposer berbakat Indonesia, Allan Andersn dalam merealisasikan projek Romansa.
Karya berkenaan bukan sekadar lagu cinta, tetapi sebuah perjalanan peribadi yang lahir daripada persahabatan rapatnya bersama Allan Andersn.
Pertemuan semula mereka selepas bertahun tidak berjumpa telah mencetuskan idea untuk menghasilkan lagu yang memadukan nostalgia, kejujuran dan keberanian meluahkan isi hati.
Lagu ini tercipta hasil daripada perbualan kami selepas bertahun-tahun tidak bersua. Tanpa sebarang perancangan awal, perbualan tersebut berkembang menjadi satu projek muzik yang sangat peribadi buat kami berdua,” jelas Ziha yang menyifatkan pengalaman itu penuh sentimental.

BERTAHUN-Tahun tidak bertemu, Ziha bersama sahabat baiknya Allan menyatu dalam single baharu, Romansa.
Peralihan daripada irama etnik kepada city pop juga menjadi tumpuan memandangkan single Ziha yang diterbitkan pada 2022, Adat Kasih pernah membawa pulang trofi Lagu Pop Etnik Terbaik dalam Anugerah Industri Muzik 23 (AIM23).
Genre baharu
Mengulas peralihan muziknya, Ziha mempunyai alasan tersendiri selain mahu mencabar diri sebagai penyanyi serba boleh.
“Saya sayang irama etnik, malah pernah beri saya kejayaan besar dalam AIM23. Tapi sebagai anak seni, saya rasa penting untuk terus mencabar diri. Lagu city pop ini satu eksperimen dan minat yang dah lama saya simpan.
Cuma jangan risau, irama tradisional tetap dekat di hati saya, insya-Allah kalau ada rezeki, saya akan kembali dengan lagu berirama etnik,” ujar Ziha.
Bagi Ziha, Romansa adalah tentang rindu yang mendalam, keraguan dalam cinta dan keinginan untuk bersama seseorang yang istimewa.

ROMANSA tidak hanya sebuah single baharu tetapi simbol kematangan Ziha sebagai wanita berkarier, ibu dan isteri.
Dengan susunan muzik berjiwa, vokal yang tulus dan elemen retro memikat, lagu berkenaan diharap mampu menyentuh hati pendengar.
Cerminan hidup
Menariknya, Romansa mencerminkan fasa kematangan hidup Ziha sebagai wanita bekerjaya yang menggalas pelbagai tanggungjawab.
Memikul peranan sebagai penyanyi, ibu dan isteri dalam satu masa yang sama, Ziha mengambil ‘cuti rehat’ sebelum kembali aktif kerana mahu memastikan anak sulungnya selesa memulakan persekolahan pada 2024.
“Selepas Cinta Malam Purnama pada 2023, saya memang ambil masa sedikit kerana anak sulung mula masuk sekolah rendah pada 2024.
Sebagai ibu, saya nak pastikan dia betul-betul selesa dengan suasana baharu sebelum saya fokus semula terhadap muzik.
“Bila hati dah tenang, barulah saya rasa bersedia kembali berkarya,” katanya.
Romansa dilancarkan secara rasmi menerusi semua platform digital sejak 1 Ogos dan Ziha berharap lagu ini diberikan ruang stesen radio tempatan untuk sampai kepada pendengar.
Saya percaya dengan rezeki yang telah Allah aturkan. Setelah 11 tahun dalam industri hiburan, saya masih ingin menyumbang sesuatu yang bermakna,” tambahnya.
Romansa kini boleh distrim menerusi semua platform penstriman digital utama termasuk Spotify, iTunes dan Apple Music. – HIBGLAM