BIDUANITA negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza memuji bakat peserta program terbaru Astro, Talk To My Manager, Auddra yang merupakan anak kepada Sharifah Shahirah.
Siti dilihat meninggalkan komen pujian terhadap Auddra atau nama lengkapnya Auddra Zulkifly pada sebuah video dalam Instagram.
Boleh pergi jauh Odah ni,” tulis Siti beserta emoji tepuk tangan.
Lebih menarik, Auddra atau lebih mesra dengan panggilan Odah itu merupakan anak angkat Siti.
Selain Siti, ramai lagi selebriti dilihat memberikan sokongan kepada Auddra antaranya Nurul Wahab, Azza Elite, Aisha Retno dan Ajak Shiro.
Anak Tokti ni dari kecil dah dicium-cium. Terkenang bakat ni. Saya masih ingat,” komen Nurul Wahab.
Auddra berjaya memukau barisan juri serta penonton menerusi persembahan bertenaga lagu popular Like Jennie.
Netizen turut kagum dengan kemampuannya menyampaikan lagu bahasa Korea dengan baik.
Turut mendapat pujian ialah ibunya, Sharifah Shahirah yang dilihat berjaya menjalankan tugas sebagai pengurus.
Talk To Manager mula bersiaran sejak Ahad lalu membariskan lapan peserta yang terdiri daripada anak-anak selebriti popular tanah air menunjukkan bakat dalam bidang nyanyian.
Mereka ialah Amad putera kepada Siti Saerah, Thalita (Shuib), Ara (Aziz M Osman), Hadie (Ina Naim) Ammar (Ameng Spring) Marsha (Liza Hanim) dan Athalia (Sharifah Zarina) – HIBGLAM