Nora Danish sokong artis buat laporan polis isu buli

PELAKON Nora Danish mengakui sudah lali dengan gejala buli dalam media sosial sehingga tidak lagi terkesan dengan komen negatif netizen.

Menurut Nora, meski tidak mempedulikan kecaman netizen, dia bagaimanapun tetap simpati melihat ramai artis generasi muda yang menjadi mangsa buli dalam media sosial hari ini.

“Kita bukan sahaja perlu selesaikan kes buli di sekolah tetapi dalam media sosial sebab boleh mengganggu emosi dan meragut nyawa.

“Sememangnya, anak seni memang tak boleh lari daripada menjadi mangsa buli tetapi saya sudah lali, tidak ambil peduli sangat sebab lahir pada zaman-zaman blog.

“Tapi saya simpati kepada beberapa artis baru yang terkesan dengan isu buli ini dan perlu sokong mereka,” katanya kepada HibGlam pada majlis memperkenalkan barisan duta baharu Amber baru-baru ini.

Tambahnya, tindakan segelintir artis yang membuat laporan polis susulan menjadi mangsa buli netizen adalah satu perkara yang tepat.

“Perkara sebegitu seperti satu perubahan positif.

“Bukan untuk menakutkan tetapi untuk beri kesedaran kepada orang ramai,” ujarnya.

Dalam masa sama, Nora juga menggesa institusi pendidikan mendidik generasi muda tentang keburukan dan impak gejala buli terhadap masyarakat.

“Saya rasa di sekolah-sekolah perlu ada pendidikan tentang anti-buli dan empati.

“Supaya kita ada sifat belas kasihan, takut dan kasih sayang sesama manusia sebab nilai murni sebegitu sudah kurang pada hari ini,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, pelakon Sophia Albarakbah antara selebriti tanah air yang nekad membuat laporan polis apabila menjadi mangsa buli siber dan gangguan seksual selepas memenangi kategori Selebriti Feminin Terhangat pada satu majlis anugerah, baru-baru ini.

Menurut peguamnya, Aizat Izuan Shakeel, Sophia mengalami gangguan emosi susulan kejadian tersebut. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok