BERANG dengan sikap Beego yang memuat naik hantaran berbaur provokasi dalam media sosial, pelakon Linda Hashim akhirnya mendedahkan punca sebenar dirinya tidak pulang ke rumah selama sembilan bulan seperti didakwa suaminya.
Linda atau nama sebenarnya Norhazlinda Hashim, 41, berkata, keputusan itu dibuat kerana bimbang dikasari selain anak-anak mereka turut berdepan trauma akibat insiden keganasan rumah tangga sebelum ini.
Ada empat sebab kenapa saya tak balik ke rumah selama sembilan bulan. Pertama, saya kena pukul sejak tahun 2016. Kedua, anak-anak saya tak nak balik kerana mereka trauma.
“Ketiga, kunci rumah ada pada dia dan keempat apabila saya balik rumah, dia akan mangga pintu rumah dari luar. Saya ada saksi yang tolong potong mangga. Selama ini saya diam, sekarang saya beritahu perkara sebenar,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan hari ini.
Tambah Linda lagi , dia turut memiliki laporan polis serta surat perintah larangan menganggu atau mendekati (OACC) yang menghalang Beego atau nama sebenarnya Mohamad Aszerul Nizam Abdullah, 45, daripada mendekati dirinya.
Saya ada laporan polis dan juga perubatan. Bagaimanapun, atas dasar perikemanusiaan saya masih benarkan dia berjumpa anak-anak,” ujarnya.
Linda turut memberi amaran kepada Beego agar tidak lagi melakukan provokasi terhadap dirinya dan anak-anak.
Tegasnya, dia juga mempunyai pelbagai bukti perbuatan pelakon itu yang yang boleh digunakan di mahkamah.
“Jangan ganggu kehidupan kami yang kini lebih tenang. Jangan sebar fitnah dan manipulasi.
Jangan tambah-tambah cerita dan provokasi sebab saya langsung tak ganggu hidup dia. Baru saya muat naik mengenai anak-anak, dia sudah kata saya provoke.
“Belum lagi saya dedahkan bukti-bukti yang banyak dalam telefon saya. Ini amaran saya!” tegasnya.
Tambah Linda, sejak mereka tidak lagi tinggal sebumbung, dia tidak pernah sekali pun mengganggu kehidupan Beego.
“Kalau dia nak bekerja atau buat siaran langsung, silakan. Saya tak pernah kacau hidup dia.
Tapi dia pula yang ganggu saya sampai menjejaskan mental saya dan anak-anak. Jadi, untuk apa saya teruskan perkahwinan ini?” luahnya.
Terdahulu, hari ini sesi laporan majlis jawatan kuasa pendamai (JKP) gagal menemui jalan setakat selepas Beego tidak hadir ke mahkamah dengan alasan tidak sihat.
Hakim kemudian meminta Linda memfailkan pengesahan taklik selepas mendapati terdapat perbuatan itu dalam hasil laporan. Mahkamah menetapkan kes akan bersambung pada 22 Oktober depan. – HIBGLAM